
KUALA LUMPUR: Malaysia lazimnya melihat kekurangan air sebagai gangguan sementara. Selepas musim kemarau, insiden pencemaran atau penutupan loji rawatan, sistem biasanya akan pulih.
Tetapi bagaimana jika gangguan ini tidak lagi bersifat sementara?
Pada Januari 2026, Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era ‘kebankrapan air global’. Dalam keadaan ini, kemarau, kekurangan bekalan dan insiden pencemaran tidak lagi berlaku sebagai krisis sementara, sebaliknya menjadi keadaan kronik yang berpanjangan.
Malaysia mungkin belum berada pada tahap ‘kebankrapan air’, namun laporan itu memberi amaran bahawa kejutan berulang dan penggunaan berlebihan dalam jangka panjang semakin menekan sistem air hingga sukar dipulihkan. Dalam keadaan ini, peningkatan permintaan, gangguan berulang dan rizab yang semakin menyusut secara beransur-ansur membentuk risiko air jangka panjang.
Apakah ‘Kebankrapan Air’?
UNU-INWEH menggunakan istilah ‘kebankrapan air’ untuk menggambarkan tahap yang melangkaui istilah biasa seperti ‘tekanan air’ atau ‘krisis air’. Istilah biasa lazimnya merujuk kepada keadaan sementara – musim kemarau, darurat bencana dan kemudiannya pemulihan.
Pengarah UNU-INWEH, Kaveh Madani, memberitahu Garasi Bernama bahawa konsep ini boleh difahami melalui analogi kewangan yang mudah: sistem air permukaan ibarat akaun semasa yang diperbaharui setiap tahun oleh alam semula jadi, manakala air bawah tanah pula berfungsi sebagai akaun simpanan.
“Kebankrapan air berlaku apabila kita bukan sahaja menghabiskan wang dalam akaun semasa, tetapi juga mengosongkan akaun simpanan kerana penggunaan air yang berterusan melebihi jumlah yang tersedia,” katanya.
Madani, yang juga penulis utama laporan itu, berkata isu ini perlu difahami dengan tepat.
“Bankrap bukan soal anda kaya atau miskin, tetapi tentang cara kita urus aset,” katanya sambil menegaskan bahawa jumlah hujan semata-mata tidak menjamin keselamatan air jika penggunaan dan perancangan tidak seimbang.
Beliau turut mengingatkan bahawa keadaan semula jadi boleh memberi gambaran yang mengelirukan.
“Jika sesuatu kawasan itu sangat hijau, ini bermakna sebahagian besar sumber air turut digunakan oleh alam sekitar. Tidak semua air di kawasan tersebut adalah untuk manusia,” katanya. “Alam juga memerlukan bahagiannya, dan ini sering dilupakan.”
Ketidakseimbangan antara penggunaan dan had inilah yang menjadi asas kepada apa yang digambarkan sebagai kebankrapan air.
Menurut Madani, kebankrapan air melibatkan dua kegagalan utama yang saling berkait: ketidakmampuan dan ketakberbalikan.
“Ketidakmampuan berlaku apabila penggunaan dan keperluan air melebihi jumlah yang boleh disediakan secara mampan. Ketakberbalikan pula berlaku apabila kerosakan terhadap alam sekitar dan ekosistem tidak lagi dapat dipulihkan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa tekanan air merujuk kepada tekanan berlebihan, manakala krisis air ialah gangguan yang lebih serius tetapi masih bersifat sementara.
“Kebankrapan pula ialah keadaan pasca krisis – apabila masalah menjadi kronik dan tidak lagi bersifat sementara. Jika telah melepasi tahap ini, memang tidak boleh lagi kembali kepada keadaan asal.”
Perkara ini penting kerana ia mengalihkan fokus daripada mencari penyelesaian gangguan jangka pendek kepada usaha melindungi rizab yang membolehkan pemulihan.
Di peringkat global, laporan itu menunjukkan trend yang semakin membimbangkan, termasuk kehilangan air yang besar di tasik utama serta kemerosotan jangka panjang kawasan tanah lembap semula jadi.
Bagi Malaysia, kerangka yang sama menunjukkan bahawa keselamatan air tidak lagi bergantung kepada bekalan semata-mata. Sebaliknya ia turut dipacu permintaan, kualiti air, keandalan sistem serta kebocoran dalam rangkaian pengagihan.
Permintaan Air Yang Semakin Meningkat
Tekanan permintaan yang semakin meningkat seiring dengan kekangan sedia ada. Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Semenanjung Malaysia dan Labuan meningkat daripada 14,560 juta liter sehari (MLD) pada 2015 kepada 17,299 MLD pada 2024.
Dalam tempoh sama, penggunaan air domestik meningkat daripada 5,585 MLD kepada 6,269 MLD, manakala penggunaan bukan domestik naik daripada 3,469 MLD kepada 4,344 MLD.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, berkata permintaan isi rumah dijangka kekal stabil, tetapi penggunaan industri berkemungkinan meningkat.
“Penggunaan air isi rumah dijangka kekal stabil kerana pertumbuhan penduduk yang terhad. Kami menjangkakan penggunaan air industri akan meningkat selaras dengan keperluan operasi, manakala penggunaan air dalam sektor pertanian mungkin menurun apabila amalan perladangan menjadi lebih cekap,” katanya.
Satu lagi penunjuk penting ialah margin rizab, iaitu perbezaan antara kapasiti sistem dan permintaan. SPAN mengesyorkan margin minimum 15 peratus bagi memastikan kestabilan operasi.
Namun, data SPAN menunjukkan margin rizab di Semenanjung Malaysia dan Labuan menurun daripada 15.4 peratus pada 2023 kepada 14.9 peratus pada 2024.
Sehingga 2024, beberapa negeri telah pun berada di bawah paras minimum ini.
Selangor yang turut membekalkan air kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya, ,mencatat 12.1 peratus, diikuti Melaka (5.2 peratus), Perlis (5.0 peratus), Kelantan (4.4 peratus) dan Kedah sifar peratus. Malah, Kedah mencatatkan margin rizab sifar selama lima tahun berturut-turut dari 2020 hingga 2024.
Rizab yang semakin menipis bermakna sistem mempunyai ruang yang lebih kecil untuk menyerap lonjakan permintaan atau kejutan bekalan.
Pencemaran dan Gangguan Bekalan
Di Malaysia, pencemaran air mentah merupakan titik tekanan utama kerana ia boleh mengganggu rawatan dan bekalan dengan cepat. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan Parlimen pada Januari 2026 bahawa 33 daripada 672 sungai yang dipantau diklasifikasikan sebagai tercemar pada 2025, berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar.
Piarapakaran berkata kualiti air kekal sebagai faktor utama kestabilan bekalan harian kerana loji rawatan perlu memantau air mentah dengan teliti.
“Kualiti air masih menjadi faktor utama kerana semua loji rawatan perlu menjalankan ujian air mentah dengan kekerapan lebih tinggi setiap hari,” katanya. “Sebahagian loji menggunakan pemantauan masa nyata dan ujian kimia khusus yang berisiko tinggi di lokasi tertentu.”
Pencemaran juga menjadi lebih kritikal ketika musim kering, apabila jumlah air sungai berkurangan untuk mencairkan bahan pencemar.
“Apabila jumlah air berkurang, walaupun jumlah bahan pencemar sama, kepekatan ammonia boleh meningkat melebihi had yang dibenarkan,” katanya.
Menurut Air Selangor, operasi loji rawatan mungkin perlu dihentikan sementara apabila tahap pencemaran melebihi had selamat. Pada Julai 2024, misalnya, empat loji di Selangor dihentikan operasi selepas kebocoran bahan kimia dari kawasan perindustrian di Rawang mencemarkan Sungai Selangor dan menyebabkan pencemaran bau.
Gangguan seperti ini memberi kesan langsung kepada kestabilan bekalan. Apabila berlaku, kesannya boleh merebak dengan cepat ke kawasan perkhidmatan yang luas, terutama jika sungai utama menjadi sumber utama bagi kawasan berpenduduk padat.
Pada Oktober 2025 di Johor, pencemaran serius di Sungai Johor menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian, menjejaskan sekitar 1.17 juta penduduk.
Pencemaran itu berpunca daripada kolam mendapan milik sebuah syarikat perlombongan pasir yang pecah di hulu sungai. Tahap kekeruhan air mentah melonjak kepada 37,400 unit kekeruhan nephelometrik (NTU), jauh melebihi paras biasa sekitar 400 NTU.
Gangguan bekalan juga membawa kos ekonomi yang tinggi. Satu kajian pada 2023 menganggarkan jumlah kerugian akibat gangguan bekalan air dari Sungai Selangor pada 2020 mencecah RM461,094 juta, termasuk nilai hartanah berisiko dan kerugian perniagaan.
Selain gangguan akibat pencemaran, satu lagi risiko struktur ialah kebocoran air dalam rangkaian pengagihan.
Isu Air Tidak Berhasil
Air tidak berhasil (NRW), iaitu air terawat yang hilang sebelum sampai kepada pengguna, mengurangkan jumlah bekalan yang tersedia untuk isi rumah dan perniagaan. Data SPAN menunjukkan kehilangan NRW di Semenanjung Malaysia dan Labuan meningkat daripada 4,721 MLD pada 2017 kepada 5,541 MLD pada 2024.
Menurut Piarapakaran, NRW bukan sahaja melibatkan kehilangan jumlah air, tetapi juga kehilangan kapasiti dan kos yang sepatutnya boleh dielakkan.
“Dari sudut keselamatan air, air terawat yang hilang ini sebenarnya boleh digunakan untuk memenuhi permintaan yang meningkat tanpa perlu membina loji baharu,” katanya. “Selain itu, kita turut menanggung kos bahan kimia, infrastruktur, tenaga dan sumber manusia bagi air yang hilang ini melalui bil air kita.”
NRW kekal tinggi di beberapa negeri. Dari 2017 hingga 2024, Perlis mencatat kehilangan tertinggi, melebihi 60 peratus secara konsisten. Pada 2024, Kelantan dan Kedah melebihi 50 peratus, manakala Pahang dan Terengganu melebihi 40 peratus.
Piarapakaran mengaitkan kadar NRW yang tinggi di sesetengah negeri dengan kelewatan penstrukturan semula di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
“Negeri yang mencatat NRW tinggi juga merupakan negeri yang lewat melaksanakan penstrukturan di bawah model WSIA. Terengganu, sebagai contoh, masih belum melaksanakannya,” katanya.
“Selepas penstrukturan, Pengurusan Aset Air Berhad boleh menyediakan pinjaman jangka panjang untuk pembangunan dan naik taraf infrastruktur.”
Beliau turut menyatakan bahawa kadar NRW Selangor pernah melebihi 30 peratus sebelum penstrukturan dilaksanakan.
Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan NRW kepada 31 peratus menjelang 2025 dan seterusnya kepada 25 peratus menjelang 2030.
Namun, dalam sesi Parlimen pada 24 Februari 2026, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia gagal mencapai sasaran tersebut.
Beliau menyatakan kedudukan kewangan operator air yang lemah serta tarif yang tidak mencerminkan kos operasi sebenar sebagai antara kekangan utama, selain gangguan akibat pandemik COVID-19 yang menangguhkan program pengurangan NRW.
Sasaran tersebut telah pun disemak semula dengan sasaran baharu, iaitu mengurangkan NRW kepada 28.8 peratus menjelang 2030.
Beban kewangan akibat NRW juga besar. Nota penyelidikan BIMB Securities pada Mei 2025 menganggarkan operator air di Malaysia kerugian sekitar RM2 bilion setahun akibat NRW – dana yang berpotensi digunakan untuk menaik taraf infrastruktur lama.
Setiap pengurangan 1 peratus NRW pula memerlukan pelaburan antara RM800 juta hingga RM1 bilion, mencerminkan beban kos yang amat tinggi dalam usaha menambah baik sistem air.
Kesan Perubahan Iklim
Tekanan iklim dijangka memburukkan lagi risiko ini. Kajian pada 2020 oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia menunjukkan Lembah Klang berdepan tekanan air tinggi hingga sangat tinggi di bawah senario perubahan iklim.
Fenomena El Nino turut memberi kesan, membawa cuaca lebih panas dan kering yang mengurangkan hujan di kawasan tadahan serta meningkatkan permintaan.
Piarapakaran berkata, keadaan sungai biasanya semakin tertekan ketika musim kering apabila aliran asas menurun.
“Petunjuk mudah ialah aliran asas sungai ketika musim kering. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, aliran asas terus menurun,” katanya.
“Aliran asas bergantung kepada air bawah tanah, jadi ini menunjukkan keadaan semakin tenat.
Semasa El Nino kuat 1997-1998, kemarau dikaitkan dengan krisis air Lembah Klang 1998, apabila paras empangan menurun dan catuan air dilaksanakan selama sekitar 150 hari, menjejaskan sekitar 1.8 juta penduduk.
Unjuran dalam Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 menunjukkan suhu purata tahunan Malaysia boleh meningkat antara 1.1 hingga 1.5 darjah Celsius menjelang 2050, dan antara 1.7 hingga 2.1 darjah Celsius menjelang 2100, yang berpotensi meningkatkan tekanan haba dan permintaan air.
Apa Yang Boleh Dilakukan Malaysia?
Mencegah masalah air daripada menjadi lebih kronik memerlukan tindakan menyeluruh, daripada perancangan yang lebih baik dan kawalan pencemaran hingga pengurangan kehilangan air dan peningkatan ketelusan.
Madani menegaskan bahawa diagnosis yang tepat amat penting kerana risiko air berbeza mengikut lokasi.
“Paling penting ialah untuk menilai dan memahami keadaan keseluruhan sistem,” katanya. “Walaupun dalam Malaysia sendiri, masalah air berbeza mengikut tempat.”
Piarapakaran pula berkata salah tanggapan sering berpunca daripada cara kita melihat hujan, bukan bagaimana air disimpan dan dilepaskan ke sungai.
“Kita berada dalam iklim hutan hujan tropika. Hutan ini bertindak seperti span besar yang membantu mengisi semula air bawah tanah dan menyejukkan persekitaran.
“Apabila hutan digantikan dengan pembangunan, kita menghapuskan sebahagian daripada kitaran air yang menyokong penggunaan manusia,” katanya
Beliau turut menekankan keperluan sistem pemantauan bahan kimia berisiko tinggi yang lebih baik bagi melindungi sumber air mentah.
“Kami telah lama mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan membangunkan pangkalan data untuk memantau pergerakan bahan kimia bagi mengelakkan pembuangan haram,” katanya.
Pada masa sama, Madani mengingatkan bahawa penyelesaian tidak boleh hanya bergantung kepada peningkatan bekalan.
“Tambah bekalan, bina empangan baharu, gali telaga lebih dalam, pindahkan air dari kawasan lain atau bina loji penyahgaraman – pendekatan ini sebenarnya memburukkan keadaan kerana setiap kali bekalan bertambah, permintaan juga meningkat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan ‘kebankrapan air’ juga memerlukan tindakan dari sudut permintaan, termasuk mengurangkan pembaziran dan menilai semula penggunaan yang tidak perlu.
Madani turut menekankan kepentingan ketelusan dan ‘akaun air’ yang lebih kukuh supaya semua pihak memahami bagaimana aset air semula jadi digunakan.
“Jika kita boleh menyediakan ramalan cuaca harian, apa salahnya jika dikongsikan juga maklumat harian tentang keadaan rizab air – berapa banyak air dalam empangan dan status akuifer,” katanya, sambil menambah bahawa langkah ini membantu menjadikan masyarakat “sebahagian daripada penyelesaian” sebelum jurang menjadi terlalu besar. – Bernama