KUCHING: Wakil rakyat pembangkang, Violet Yong (DAP-Pending) memuji tindakan kerajaan negeri membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No 2) 2022 sebagai langkah tepat untuk negeri ini.
Yong berkata, ia selaras dengan peruntukan baharu Perkara 16B mengenai pertukaran parti politik ahli yang dimasukkan berikutan pindaan Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia adalah sebahagian daripada proses reformasi yang membawa kepada demokrasi yang teguh memandangkan pindaan yang dibentangkan dalam sidang kali ini adalah kerana Parlimen telah meluluskan Undang-undang Anti-Lompat Parti pada Julai tahun ini yang berkuat kuasa 5 Oktober lalu.
“Kelulusan RUU Anti-Lompat Parti adalah langkah penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi Malaysia dan memastikan mandat rakyat tidak akan dikhianati kerana ia akan membantu mengekang tindakan ‘katak politik’ yang berleluasa dan keji yang telah melanda negara kita terutama sejak ‘Langkah Sheraton,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, hari ini.
Katanya, bayangkan akan berlaku huru-hara jika undang-undang Anti-Lompat Parti tidak dikuatkuasa dalam keadaan kecelaruan politik persekutuan sekarang.
“Dengan kelulusan pindaan sekarang dan kemasukan Perkara 16B dalam perlembagaan negeri, ia akan membantu mengekang mana-mana wakil rakyat menukar parti politiknya untuk kepentingan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Yong mencadangkan agar pindaan itu turut memasukkan langkah-langkah untuk menghalang keseluruhan blok parti politik atau perikatan daripada melompat.
Oleh NUR AIN OTSMAN