
PETRA JAYA: Sarawak mencatat sejarah apabila Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memulakan kajian jangka panjang dan penilaian impak terhadap Pusat Intervensi Awal (EIC) di negeri ini bagi menilai keberkesanan intervensi terhadap kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dapatan awal kajian menunjukkan kanak-kanak yang menghadiri EIC sekurang-kurangnya setahun menunjukkan kemajuan ketara dalam literasi, numerasi, keyakinan, kesediaan sekolah dan keupayaan mengurus diri berbanding pelajar baharu.
“Dapatan ini mengesahkan bahawa intervensi awal bukan hanya penting, tetapi sangat berkesan untuk membentuk perkembangan menyeluruh kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan peningkatan interaksi ibu bapa dan anak, menandakan perubahan positif dalam hubungan keluarga serta komitmen ibu bapa terhadap pembelajaran anak masing-masing.
KPWK turut mengakui keperluan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan intervensi awal, khususnya di kawasan seperti Sarikei, susulan keprihatinan yang dibangkitkan Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong-GPS) mengenai kekurangan pusat dan sokongan bersepadu.
“Kementerian akan menjalankan tinjauan ringkas untuk mengenal pasti keperluan sebenar di Sarikei, termasuk bilangan kanak-kanak yang memerlukan intervensi awal, supaya perancangan dapat dilakukan secara tepat,” ujarnya.
Pada masa sama, KPWK menegaskan bahawa keluarga yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan daripada Agape Sibu, yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal termasuk untuk kanak-kanak autisme.
Beliau berkata kerjasama dengan UNICEF dan rakan antarabangsa mencerminkan keyakinan global terhadap usaha Sarawak memperkukuh sistem pendidikan inklusif peringkat awal.
“Kajian ini bukan hanya memberi data penting kepada kerajaan negeri, tetapi juga membuka ruang kepada Sarawak untuk menjadi model pembangunan intervensi awal yang berkesan di rantau ini,” tegasnya.
Katanya lagi, dapatan kajian akan membantu Sarawak merangka dasar baharu, meningkatkan modul latihan guru dan memperluas pusat intervensi awal secara strategik mengikut keperluan daerah.
Oleh Shahrul Qaizat