PETRA JAYA: Penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 memberikan Sarawak peluang untuk memperkukuhkan usaha ke arah agenda ‘sifar sisa’ yang mengutamakan pengurangan dan kitar semula bahan buangan.
Dato Ir Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) berkata, RUU ini juga menggalakkan ekonomi pusingan iaitu sumber digunakan secara berulang kali melalui proses pembaikan, penggunaan semula, dan kitar semula untuk mengurangkan sisa.
RUU ini katanya, bakal menyokong inisiatif penjanaan tenaga daripada sisa termasuk pembinaan dua insinerator moden yang akan memproses sisa dari Kuching hingga ke Limbang, mengurangkan keperluan terhadap tapak pelupusan sampah.
“Sarawak sedang meneliti model pengurusan sisa Sweden yang menggunakan teknologi pembakaran canggih dan pemulihan tenaga, yang mampu menjana elektrik daripada sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 pada sidang DUN, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Miro Simuh (GPS-Serembu) berkata RUU yang memberi penekanan terhadap alam sekitar telah meningkat dengan pesat dan kepentingan undang-undang alam sekitar semakin kritikal dalam melindungi sumber semula jadi dan habitat.
“Tanpa undang-undang ini, tidak akan ada peraturan mengenai pencemaran, pencemaran air, mahupun tindak balas terhadap bencana. Undang-undang alam sekitar bertujuan melindungi dan memelihara alam sekitar untuk generasi kini dan masa depan serta memastikan pembangunan lestari,” katanya.
Beliau menekankan bahawa RUU ini akan memperkenalkan kesalahan baharu serta hukuman bagi memastikan kepatuhan terhadap undang-undang dan mengekang aktiviti pencemaran.
Salah satu isu utama yang dibangkitkan Miro ialah pencemaran air, yang menurutnya perlu dikawal dengan lebih ketat.
“Air tercemar boleh membawa risiko kesihatan yang serius kepada manusia,” katanya.
Miro juga meluahkan kebimbangannya terhadap amalan sesetengah premis komersial seperti bengkel kereta yang membuang minyak enjin terpakai ke dalam longkang, menyebabkan pencemaran yang jelas kelihatan pada saluran air berhampiran.
Beliau turut menyoroti pencemaran yang disebabkan oleh ladang ternakan khinzir konvensional di Sarawak yang membuang sisa secara langsung ke sungai, seperti yang dilaporkan dalam kajian di Sungai Serin, Padawan.
Katanya, kajian menunjukkan pencemaran air yang teruk akibat sisa ternakan, dan ini menjejaskan kualiti air sungai yang mungkin menjadi sumber air bersih untuk loji rawatan.
Oleh itu, Miro menegaskan keperluan undang-undang yang ketat terhadap aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran ini, serta pelaksanaan langkah kawalan lebih berkesan.
“Sebarang aktiviti ekonomi mesti selaras dengan dasar perlindungan alam sekitar. Kerangka undang-undang yang kukuh penting untuk mencapai matlamat alam sekitar dalam konteks pembangunan mampan dan tadbir urus, sama ada di peringkat global, serantau, atau nasional,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT