
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak kini dalam fasa persediaan untuk melaksanakan transformasi menyeluruh terhadap Mahkamah Bumiputera Sarawak, susulan kelulusan Pelan Induk Transformasi (Masterplan for the Transformation of the Native Courts of Sarawak) oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023.
John Ilus (N.23 Bukit Semuja) telah mengemukakan soalan berkenaan perkembangan terkini kajian menaiktaraf status Mahkamah Bumiputera Sarawak. Menjawab soalan tersebut, Datuk Jefferson Jamit Unyat menjelaskan bahawa kajian yang bermula sejak 2020 telah selesai pada Februari 2023, dan kini sedang menuju ke fasa pelaksanaan hasil kajian tersebut.

Antara langkah utama yang akan diambil ialah pemansuhan Native Courts Ordinance 1992 dan penggubalan Ordinan baharu yang dikenali sebagai Mahkamah Bumiputera Ordinan Baharu. Bersama itu, dua lagi rang undang-undang turut akan diperkenalkan iaitu Native Courts Judges Appointment Council and Native Courts Judges Remuneration Bill dan pindaan terhadap Ordinan Majlis Adat Istiadat Sarawak 1977.
Transformasi ini dijangka memberi impak besar kepada pentadbiran dan penguatkuasaan Undang-Undang Adat Bumiputera. Mahkamah baharu akan diurus secara lebih profesional, di mana kes-kes akan dikendalikan oleh hakim dan majistret bertauliah dalam bidang perundangan. Empat peringkat baharu mahkamah akan diwujudkan iaitu Mahkamah Bumiputera Majistret, Mahkamah Tinggi Bumiputera, Mahkamah Rayuan Bumiputera dan Mahkamah Bumiputera Agung, yang setara dengan struktur Mahkamah Sivil dan Syariah.
Dalam soalan tambahannya, John turut meminta penjelasan mengenai perubahan yang akan berlaku hasil transformasi ini. Datuk Jefferson memaklumkan bahawa perubahan akan melibatkan hierarki mahkamah yang kini terdiri daripada dua peringkat — Mahkamah Rendah Bumiputera dan Mahkamah Tinggi Bumiputera — serta pembangunan organisasi Pejabat Ketua Pendaftar dari sudut operasi dan sumber tenaga manusia.
Sebagai langkah ke arah desentralisasi pentadbiran, sebuah Ibu Pejabat akan ditubuhkan di Bahagian Kuching bersama tiga Pusat Wilayah di Samarahan, Sibu dan Miri bagi memperkukuh pengurusan Mahkamah Bumiputera di seluruh negeri.
Transformasi ini menandakan langkah progresif kerajaan Sarawak dalam memperkasa institusi kehakiman adat dan memperkukuh kedudukan Undang-Undang Adat Bumiputera dalam sistem perundangan negeri.
Oleh Norman B.