
PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, menyatakan sokongan padu terhadap titah Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, khususnya dalam perkara berkaitan industri minyak dan gas, pemerkasaan Petros sebagai pengagregat gas tunggal serta penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pendidikan.
Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Premier Sarawak atas kepimpinan yang berwawasan dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan negeri ini.

“Sarawak kini menjadi peneraju dalam tenaga hijau, ekonomi digital dan reformasi pendidikan. Premier kita telah membawa negeri ini ke hadapan dalam memperjuangkan hak perlembagaan dan mengimbangi pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar,” kata Dato Lo.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Premier meluluskan penaiktarafan Jalan Batu Kitang dan Jalan Bau Lama kepada jalan berkembar, masing-masing dengan peruntukan RM500 juta. Keputusan itu dibuat susulan lawatan sendiri oleh Premier ke laluan tersebut, yang disifatkan Dato Lo sebagai contoh kepimpinan sebenar.
Dato Lo turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu keselamatan awam dan menggesa pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bandar dan separa bandar di seluruh Sarawak. Beliau membandingkan situasi dengan Singapura yang memiliki lebih 90,000 CCTV dan menyasarkan 200,000 menjelang 2030.
“Berapa jumlah kamera yang beroperasi di Sarawak hari ini? Dan apakah sasaran kita dalam lima tahun akan datang?” soalnya kepada pihak berkaitan.
Dalam aspek infrastruktur, beliau menggesa kelulusan segera untuk pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Jalan Stephen Yong ke RPR Landeh bagi menangani kesesakan lalu lintas akibat pembangunan pesat. Beliau juga membangkitkan isu lori berat yang mengancam keselamatan di Jalan Arang dan menggesa tindakan segera oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB).
Dato Lo turut meminta kemas kini mengenai kajian kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Rentas Borneo, sambil menegaskan bahawa rakyat Sarawak berhak mendapat penjelasan.
Beliau menekankan keperluan pemeriksaan berkala sirena amaran banjir di Batu Kitang dan mencadangkan penurapan sementara bagi jalan rosak dari Jambatan Batu Kitang ke simpang Kampung Haji Baki demi keselamatan penduduk.
Dalam cadangan lain, beliau mahu Bulatan 15th Mile dinaik taraf kepada pusingan U bertingkat dan menyeru penyelenggaraan saluran air di bandar dipertingkatkan segera bagi mengelak banjir kilat dan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Oleh Norman B.