KUCHING: Kearajaan Perpaduan baharu diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyediakan lebih banyak dana untuk Sarawak dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jurang pembangunan itu tidak akan pernah dapat dirapatkan sekiranya Kerajaan Persekutuan terus memperuntukkan hanya kira-kira lima peratus daripada Bajet Pembangunan Negara kepada Sarawak.
“Ini amat tidak wajar. Adalah menjadi harapan dan hak rakyat Sarawak, sebagai rakyat Malaysia untuk dibekalkan dana yang mencukupi oleh Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Ini adalah hak Sarawak yang tidak boleh dinafikan,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Awang Tengah berkata, sekolah daif seharusnya tidak lagi wujud di Sarawak setelah 59 tahun penubuhan Malaysia.
“Kita sepatutnya tidak ada lagi sekolah yang dalam keadaan daif, jalan raya yang teruk, bekalan air dan elektrik tidak mencukupi, klinik desa dan hospital yang tidak selesa dan banyak lagi yang sepatutnya kita nikmati sama seperti di Semenanjung Malaysia.
“Kita mahu peruntukan yang lebih besar bukan sahaja untuk pembangunan dari segi infrastuktur seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang dan pelabuhan yang lebih baik dan efisien tetapi juga untuk pembangunan kemudahan asas lain seperti bekalan air, elektrik dan sistem telekomunikasi lebih moden.
“Kita juga mahu peruntukan yang lebih besar untuk membangunkan infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
“Pada masa sama, kita juga berhak untuk mendapatkan peruntukan lebih besar bagi pembangunan estet perindustrian, premis perniagaan dan mempertingkatkan program pembangunan sosioekonomi serta program pembasmian kemiskinan,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA