
PETRA JAYA: Sarawak kini mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan data eKasih sehingga 1 Oktober 2025, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi soal jawab Persidangan Hari Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak sebagai menjawab soalan Dato Mohd Chee Kadir (GPS–Kabong) mengenai situasi kemiskinan semasa di negeri ini.
Menurut Razi, tiada isi rumah di Sarawak, termasuk di Daerah Kabong, berada dalam kategori miskin tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Miskin Tegar 2022 iaitu RM1,298 sebulan.
Bagaimanapun, masih terdapat isi rumah dalam kategori miskin, dengan 726 ketua isi rumah di Kabong berada dalam kelompok itu mengikut PGK Miskin 2022 berjumlah RM2,618 sebulan.
Data Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) menunjukkan seramai 32,430 rakyat masih diklasifikasikan sebagai miskin sehingga 1 Oktober 2025, dengan Kuching mencatat jumlah tertinggi sebanyak 5,363 individu diikuti Mukah (5,001), Kapit (3,796), Samarahan (3,613), Sibu (2,954) dan Betong (2,711).
Di peringkat daerah pula, Kuching (2,849), Sibu (1,364), Matu (1,073) dan Kapit (1,201) menjadi penyumbang utama statistik tersebut.
Razi berkata kerajaan negeri terus memperkasa program bantuan dan intervensi bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat berpendapatan rendah.
Antara inisiatif tersebut ialah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak, Endowment Fund Sarawak, Bantuan Ibu Bersalin, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas serta Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak.
Turut disediakan ialah skim keusahawanan seperti Geran Usahawan Wellbest, Geran Agropreneur Muda dan Skim Kredit Mikro Sarawak, selain program peningkatan pendapatan seperti Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE).
Pelbagai latihan kemahiran, bantuan perubatan, program pertanian serta inisiatif perumahan dan pendidikan turut digerakkan bagi membantu golongan memerlukan.
Beliau berkata eKasih kekal sebagai pangkalan data rasmi kemiskinan negara dan menjadi rujukan utama bagi memastikan bantuan disalurkan secara tepat sasaran.
Dengan lebih 32,000 isi rumah masih berada dalam kategori miskin, kerajaan negeri menegaskan usaha mengurangkan jurang sosioekonomi akan terus menjadi fokus pembangunan Sarawak pada 2025.
Oleh Adi Safarman