KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan pekeliling mengenai peruntukan khas untuk melaksanakan variasi harga (VOP) bagi menampung kenaikan harga bahan binaan untuk membantu kontraktor tempatan yang terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, di bawah Surat Pekeliling Setiausaha Kewangan Negeri Bil. 12/2022, tempoh VOP dilanjutkan sehingga penghujung tahun ini iaitu 31 Disember 2022.
“VOP dibenarkan untuk kontrak konvensional, reka dan bina yang masih diteruskan dari 2021 serta projek di mana surat setuju terima dikeluarkan sehingga 31 Disember 2021.
“VOP dipertimbangkan untuk sejumlah 34 bahan binaan berbeza di bawah kontrak Bangunan, Kejuruteraan Awam dan Mekanikal dan Elektrik dan akan digunakan sehingga projek siap,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Selain itu, Jadual Kadar (SOR) baharu akan diterbitkan menjelang Disember 2022 di mana kadar tersebut akan lebih mencerminkan senario pasaran semasa dan dengan itu, juga akan membantu mengurangkan isu kenaikan harga bahan binaan.
Uggah berkata, selain itu SOR akan mempertimbangkan faktor lokaliti yang akan ditambah ke dalam kadar asas untuk menangani isu logistik.
Dalam pada itu, katanya, proses pelantikan kontraktor dibuat bagi memastikan pelaksanaan projek yang berkualiti dan pantas.
Untuk itu kata beliau, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah seperti proses pelantikan mana-mana kontraktor untuk projek yang dibiayai negeri, yang tidak pernah terjejas dan penilaian dijalankan mengikut prosedur dan garis panduan perolehan yang ditetapkan.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan sebarang urusan perolehan dilaksanakan secara sistematik, menyeluruh dan tanpa berat sebelah.
“Ini bermakna, semua penyerahan dinilai secara adil untuk memastikan kontraktor yang paling cekap dipilih untuk melaksanakan projek dengan nilai pelaburan terbaik, kualiti tertinggi dan dengan kecemerlangan penyampaian,” katanya.
Beliau berkata, setiap fasa proses perolehan diperiksa dengan teliti untuk memastikan pembida yang paling kompeten dipilih untuk mana-mana projek awam.
Oleh NUR AIN OTSMAN