Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Teknologi baharu kurangkan kos penyelenggaraan jalan, jambatan
  • TEMPATAN

DUN: Teknologi baharu kurangkan kos penyelenggaraan jalan, jambatan

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Aidel Lariwoo ketika menjawab soalan lisan Awla Dris (GPS–Simunjan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19, hari ini.

PETRA JAYA: Penggunaan teknologi baharu dalam pembinaan jalan dan jambatan berpotensi besar mengurangkan keperluan penyelenggaraan jangka panjang, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.

Beliau, berkata pendekatan berasaskan teknologi moden bukan sahaja meningkatkan kualiti dan keselamatan infrastruktur, malah mampu menangani pelbagai cabaran geoteknikal, khususnya di kawasan pesisir bertanah gambut yang lembut, mudah mendap dan berasid.

“Antara teknologi yang digunakan termasuk pembinaan jalan bertingkat, penggantian tanah lemah, kaedah displacement, pra-pemadatan, serta penggunaan bahan komposit berprestasi tinggi,” katanya ketika menjawab soalan lisan Awla Dris (GPS–Simunjan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19, hari ini.

Tambah beliau, kaedah jalan bertingkat yang menggunakan struktur bertiang dapat mengurangkan sentuhan terus dengan tanah gambut, sekali gus mengurangkan risiko mendapan tidak sekata dalam jangka masa panjang.

Antara projek yang menggunakan kaedah ini ialah Pakej A1-B dari Jambatan Batang Samarahan ke Jambatan Batang Sadong serta Jalan Teku ke Pasai Siong di Sibu.

Sementara itu, kaedah penggantian tanah lemah melibatkan penggalian tanah gambut dan pengisian semula dengan bahan lebih kukuh seperti pasir, batu kerikil, granular fill atau tanah liat yang dipadatkan.

Bagi kaedah displacement, bahan pengisi berat ditambah dari atas untuk menolak keluar tanah lembut secara mendatar tanpa penggalian.

Kaedah pra-pemadatan pula termasuk penggunaan preloading bersama Prefabricated Vertical Drain (PVD), serta kaedah Deep Soil Mixing bagi meningkatkan kestabilan tanah sebelum pembinaan dimulakan.

“PVD mempercepatkan proses pemampatan tanah, manakala Deep Soil Mixing menggunakan campuran tanah dan simen untuk membentuk tiang tanah yang kukuh,” jelas Aidel.

JKR Sarawak turut menggunakan bahan Ultra High Performance Fiber Reinforced Cementitious Composite (UHPFRC) yang tahan terhadap penembusan klorida dan sulfat, menjadikannya sesuai untuk kawasan pesisir.

Antara projek yang telah menggunakan bahan ini ialah Pakej A2 dari Jambatan Batang Sadong ke Jambatan Batang Lupar 1, Jalan Sebangan di Samarahan, Jalan Klid Medong ke Lebarassau di Dalat Mukah, dan jalan ke Kampung Sungai Ijok di Samarahan.

Aidel menambah, pembinaan atas struktur bertiang juga memerlukan pengorekan minimum dan kurang mengganggu kawasan sensitif seperti tanah gambut, hutan dan sungai.

“Inisiatif ini selari dengan komitmen kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keselamatan dan kualiti jalan luar bandar melalui penerapan teknologi moden,” ujarnya.

Oleh Amanda L.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Gempa bumi 6.0 skala Richter landa Bengkulu, Indonesia
Next: Negara G7 bersatu dalam usaha stabilkan pasaran global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.