PETRA JAYA, 16 Oktober: Pendaftaran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang belum mempunyai hak milik bagi tujuan wakaf atau endowmen kepada badan agama perlu didahului pengesahan hak di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penentuan hak NCR di bawah Seksyen 18 perlu dilakukan sebelum pendaftaran endowmen mengikut peruntukan baharu Seksyen 171A Kanun Tanah Sarawak dapat dilaksanakan.
Menurutnya, dokumen hak milik perlu didaftarkan terlebih dahulu bagi memastikan pemilikan tanah yang diwakafkan atau didermakan kepada badan agama berkenaan dapat dipastikan.
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sedang bekerjasama dengan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk membangunkan prosedur menyeluruh yang memudahkan pendaftaran endowmen bagi pelbagai badan agama di Sarawak, termasuk penentuan pemilikan tanah NCR sebelum pendaftaran dibuat.
Katanya, Seksyen 171A bertujuan memudahkan pendaftaran endowmen kepada badan agama melalui mekanisme perundangan yang jelas dan tersusun bagi memastikan tanah berkenaan ditadbir dengan baik serta mengurangkan risiko pertikaian pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lidam Assan (GPS-Katibas), mengenai syarat pendaftaran endowmen tanah NCR tanpa hak milik serta implikasi pelaksanaan Seksyen 171A Kanun Tanah Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud




