

PETRA JAYA: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menolak cadangan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang mencadangkan agar Premier Sarawak menuntut pegangan ekuiti sebanyak 30 peratus dalam syarikat minyak dan gas nasional, Petronas.
Menurut Ketua Biro Pengaduan Awam SUPP, Wilfred Yap Yau Sin, cadangan tersebut disifatkan sebagai populis dan tidak berpijak pada realiti undang-undang serta struktur pemilikan Petronas yang merupakan entiti milik penuh Kerajaan Persekutuan.
“Cadangan tersebut tidak mengambil kira kerumitan praktikal dan perundangan yang berkait dengan Petronas, termasuk bidang kuasa Persekutuan.
“Apa yang lebih penting bagi Sarawak adalah kawalan terus terhadap pengurusan sumber gasnya sendiri yang merupakan satu pencapaian nyata yang telah dimeterai melalui pengisytiharan bersama baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Tambah beliau, SUPP menyatakan sokongan penuh terhadap pengisytiharan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang diumumkan baru-baru ini.
“Perjanjian ini merupakan langkah pragmatik dalam menjalin kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, tanpa menjejaskan hak Sarawak dalam mengawal sumber asli negeri itu.
“Pengisytiharan ini memperkukuh hak perlembagaan Sarawak dengan menetapkan bahawa sebarang pengecualian kepada Petronas bagi menjalankan aktiviti minyak dan gas di negeri ini tidak akan berlaku secara automatik.
“Sebaliknya, Petronas perlu memohon kelulusan daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, terutamanya bagi aktiviti yang tidak bertindih dengan peranan Petros sebagai agregator tunggal gas di Sarawak,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa pendekatan itu adalah lebih matang dan seimbang yang mengukuhkan perpaduan nasional sambil memperteguh hak dan kuasa perundangan negeri Sarawak.
“Ini adalah pencapaian yang lebih konkrit dan dapat dikuatkuasakan berbanding tuntutan saham yang tidak realistik.
“SUPP percaya bahawa masa depan Sarawak lebih terjamin melalui kawalan peraturan yang jelas serta kerjasama yang berterusan dengan kerajaan Persekutuan, berbanding tuntutan ekuiti yang boleh mencetuskan kebuntuan politik.
“Keutamaan kami ialah memastikan Sarawak terus mempunyai suara yang dominan dalam mengurus dan mengawal sumbernya sendiri, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan semangat federalisme,” tegas beliau.
Oleh Masrin Affirah