PETRA JAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena di Sungai Sut, Kapit yang dibina pada 1963, kini berada dalam keadaan rosak teruk dan tidak lagi boleh dibaiki.
Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata ia memerlukan pembinaan semula sepenuhnya termasuk bilik darjah, asrama, dan kuaters guru.
“Usaha untuk membaik pulih sekolah usang ini memerlukan perhatian segera demi keselamatan pelajar, guru, dan kakitangan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (2024) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
SK Nanga Bena Sungai Sut rosak teruk ditenggelami banjir baru-baru ini.
Wilson menekankan betapa pentingnya menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif bagi pelajar dan guru di kawasan luar bandar, yang turut terkesan dengan masalah infrastruktur sekolah yang semakin merosot.
Beliau berkata dalam lawatannya ke SK Nanga Bena bersama Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, menyaksikan keadaan sekolah yang teruk terjejas akibat banjir sehingga tenggelam hingga ke bumbung.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak serta Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat atas peruntukan sebanyak RM100 juta yang disediakan untuk membaiki sekolah-sekolah ini, dengan tempoh siap dijangka dalam masa 18 bulan.
Selain itu, beliau turut memohon agar kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas di kawasan tersebut, termasuk jalan perhubungan, bekalan air bersih, elektrik 24 jam, serta liputan internet 5G bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
Dalam pada itu, John Ilus (Bukit Semuja-GPS) menzahirkan penghargaan terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha menubuhkan pelbagai agensi pembangunan yang mempercepatkan pelaksanaan projek di seluruh wilayah.
Katanya, agensi seperti Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah memberi manfaat besar kepada kawasan yang berada di bawahnya, termasuk Bukit Semuja, dan berharap agar peruntukan tambahan diberikan bersama strategi kukuh bagi memenuhi keperluan spesifik setiap kawasan.
Beliau turut menekankan bantuan yang disalurkan melalui Unit untuk Agama Lain (UNIFOR), yang semakin mendapat perhatian dalam belanjawan negeri sejak diperkenalkan pada 2017.
“Dari permulaan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta, dana ini telah meningkat secara konsisten hingga mencapai RM100 juta pada 2023, dengan RM30 juta daripadanya diperuntukkan untuk sekolah mission dan RM70 juta bagi rumah ibadat.
“Tahun ini, UNIFOR mendapat tambahan peruntukan sehingga RM110 juta, dengan RM90 juta disalurkan untuk rumah ibadat manakala RM20 juta bagi sekolah mision,@ jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri terus meningkatkan dana untuk inisiatif inklusif ini, memandangkan banyak projek kini dalam pelbagai peringkat seperti perancangan, pembinaan, dan pelaksanaan.
Beliau berharap agar peruntukan kali ini dapat dinaikkan sehingga RM150 juta, bagi memastikan kesejahteraan rakyat tercapai dan tiada golongan yang tercicir.
Oleh SHAHRUL QAIZAT