
PETRA JAYA: Penemuan telaga minyak dan gas baharu Sirung-1 oleh Petronas pada 30 Mac 2021 di perairan cetek Balingian membuka lembaran baharu kepada potensi pembangunan industri minyak dan gas di kawasan Mateding, Balingian.
Abdul Yakub (ADUN Balingian), menggesa kerajaan negeri agar membangunkan sebuah premis pendaratan hasil minyak dan gas di kawasan tersebut.

“Kawasan Mateding dikenal pasti sebagai lokasi paling strategik untuk menempatkan aktiviti ini.
“Sekiranya direalisasikan, pembangunan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan, tetapi juga mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke bandar.
“Penemuan ini yang terletak di perairan cetek Balingian di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Blok SK405B dapat dijadikan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi kawasan tengah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah institusi latihan teknikal di kawasan Mateding bagi melatih tenaga kerja mahir dalam sektor minyak dan gas serta industri berkaitan.
“Usaha ini mampu menjadikan Balingian sebagai hab industri baharu yang mampan dan berdaya saing.
“Dengan pendekatan dua serampang ini, pembangunan industri dan latihan kemahiran di kawasan Balingian dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong agenda Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 khususnya dalam sektor tenaga dan pembangunan ekonomi luar bandar,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah