Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Senaraikan pesta kesenian, kebudayaan etnik Orang Ulu dalam kalendar pelancongan
  • SEMASA

DUN: Senaraikan pesta kesenian, kebudayaan etnik Orang Ulu dalam kalendar pelancongan

Utusan Sarawak 6 months ago
ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon. Foto HERRIEY NAHA

PETRA JAYA: Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan Sarawak (MTCP) disaran untuk memasukkan pesta-pesta kesenian dan kebudayaan etnik Orang Ulu di kawasan Murum dan Belaga ke dalam kalendar pelancongan Sarawak dan Malaysia.

Antara pesta itu termasuklah Pesta Seni dan Kebudayaan Apau Koyan, Regatta Belaga Rainforest Challenge, Pesta Do Ledoh (Komuniti Kayan), Pesta Lepa Ajau Ladong Bio (Komuniti Kenyah), Pesta Saviek (Komuniti Kajang) dan Pesta Adet Tapo’ (Komuniti Penan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pesta-pesta kesenian dan kebudayaan itu berpotensi untuk menarik pelancong ke negeri ini.

”Sehubungan itu, saya mencadang agar pesta-pesta ini diberi geran tahunan dan dimasukkan ke dalam Kalendar pelancongan Sarawak dan Malaysia.

”Saya juga memohon agar Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC), Kementerian Pelancongan Sarawak (MTCP), Sarawak Tourism Board (STB) dan agensi-agensi yang berkaitan terus mempergiatkan promosi dan pemasaran produk-produk pelancongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 dan Usul untuk merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, kawasan di bawah konstituensi Murum dan Belaga mempunyai potensi untuk dijadikan destinasi eko-pelancongan berasaskan kebudayaan, pengembaraan dan explorasi alam semulajadi.

”Ini kerana kawasan kita amat unik dengan kepelbagaian suku bangsa dan etnik yang kaya dengan warisan, seni dan budaya yang bernilai tinggi.

”Selain itu, ia juga mempunyai khazanah alam semula jadi, hutan rimba, flora dan fauna, sungai, tasik, gunung ganang dan air terjun yang indah dan cantik sekali yang pasti menarik untuk diterokai oleh pelancong-pelancong dalam dan luar negara,” tambahnya.

Oleh Rynna Sha’erra

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak di landasan tepat manfaatkan transisi global kepada hidrogen – Abang Johari
Next: 48 pasukan buru gelaran juara pertandingan ‘Double Dart’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.