PETRA JAYA: Dasar pengambilan murid untuk Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) adalah selaras dengan falsafah asal penubuhan sekolah itu bagi menyediakan ekosistem yang baik khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata dasar pengambilan itu adalah sekurang-kurangnya 50 peratus dari golongan B40, 32.3 peratus dari golongan M40 manakala 12.3 peratus dari T20.
”Berdasarkan statistik semasa, pecahan murid mengikut kaum bagi kedua-dua YSISS Petra Jaya dan YSISS Kuching adalah terdiri daripada 36.2 peratus kaum Melayu, Bidayuh (19.1 peratus), Iban (18.7 peratus), Cina (12.2 peratus), Melanau (7.9 peratus), Orang Ulu (3.7 peratus) dan 2.2 peratus adalah daripada pelbagai kaum yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gira Sambang (GPS-Tamin) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Terdahulu, Gira bertanya berkenaan pecahan pelajar mengikut kaum dan latar belakang sosioekonomi yang belajar di YSISS dan jumlah pelajar Sarawak dibiayai oleh Yayasan Sarawak yang melanjutkan pelajaran di IPTA, IPTS dan pengajian tinggi di luar negara.
Sementara itu, menurut rekod 31 Oktober 2024, seramai 40,856 pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan pengajian tinggi di luar negara telah mendapat pembiayaan dari kerajaan Sarawak melalui pelbagai biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Yayasan Sarawak.
Menjawab soalan tambahan berkenaan status terkini pembinaan YSISS di Sibu, Annuar memaklumkan kemajuan projek itu sudah mencapai 88.56 peratus dan dijangka mula beroperasi pada 2026.
Selain itu, beliau berkata murid lepasan YSISS yang mendapat Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT di dalam atau luar negara.
”Dari segi akademik, dua pelajar cemerlang dari setiap sekolah berpeluang mendapat tajaan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari di universiti antarabangsa.
”Di samping cemerlang dalam akademik, YSISS juga memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan pembangunan karakter supaya lebih berdaya saing, berkeyakinan tinggi serta mempunyai kualiti kepimpinan,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA