Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak teliti penubuhan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan atasi kekurangan doktor, jururawat
  • SEMASA

DUN: Sarawak teliti penubuhan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan atasi kekurangan doktor, jururawat

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Dr. Annuar Rapa’ee, bercakap pada sesi soal-jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang meneliti secara serius penubuhan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan di universiti milik kerajaan negeri sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga profesional kesihatan, khususnya doktor dan jururawat di Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, kerajaan negeri amat menyedari keperluan untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja dalam sektor kesihatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan kepada rakyat di seluruh Sarawak.

“Program Perubatan merupakan antara program ijazah sarjana muda yang akan ditawarkan di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang bakal bermula pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Safiee Ahmad (Daro – GPS) pada persidangan hari keempat Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.

Tambah beliau, perancangan penubuhan fakulti tersebut kini berada pada peringkat kajian kebolehlaksanaan di salah satu universiti milik kerajaan Sarawak.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat institusi sedia ada yang menawarkan program dalam bidang Sains Kesihatan di peringkat diploma dan ijazah dengan pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), termasuk Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Kuching, Sibu dan Serian, serta Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut menawarkan pelbagai kemudahan pendidikan melalui Yayasan Sarawak bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

“Antaranya Pinjaman Pelajaran Yayasan Sarawak (Dalam dan Luar Negara), Biasiswa Khas Program Perubatan Unimas, dan Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (Tumpuan STEM).

“Kerajaan Sarawak juga sedang merancang menjalin kerjasama strategik dengan universiti tempatan termasuk Unimas dan UiTM, serta institusi antarabangsa bagi menyokong pembangunan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan yang bakal ditubuhkan,” ujarnya.

Usaha itu katanya penting bagi memastikan fakulti tersebut kelak mematuhi standard akademik, keupayaan latihan klinikal serta keperluan akreditasi yang ditetapkan.

Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi penubuhan sebuah Fakulti Perubatan.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak rancang Larian Obor Sukan SEA 2027 seluruh negeri, semarak semangat temasya
Next: DUN: Sarawak sedia rangka kerja kukuh pacu penggunaan EV menjelang 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.