Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak siap 1,127 projek pembiayaan alternatif, jalan persisir dan KUTS antara terbesar
  • SEMASA

DUN: Sarawak siap 1,127 projek pembiayaan alternatif, jalan persisir dan KUTS antara terbesar

Utusan Sarawak 2 hours ago
Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak terus muncul sebagai negeri paling agresif melaksanakan pembangunan apabila 1,127 projek berjaya disiapkan melalui model Pembiayaan Alternatif, satu pendekatan yang digunakan kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur kritikal di seluruh negeri. 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sehingga kini kerajaan telah membelanjakan RM21.8 bilion menerusi kaedah Pembiayaan Alternatif, menjadikannya antara program pembangunan terbesar dalam sejarah negeri. 

“Pembiayaan Alternatif diwujudkan supaya projek tidak tertangguh hanya kerana menunggu peruntukan tahunan. Dengan pendekatan ini, kita memastikan projek berjalan lebih cepat dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya ketika ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.   

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua itu berkata, daripada 1,586 projek keseluruhan yang dilaksana di bawah skim ini, sebanyak 71 peratus telah disiapkan, manakala 459 projek lagi sedang berjalan pada pelbagai peringkat. 

Katanya, projek-projek itu merangkumi pembinaan jalan raya, sistem bekalan air, elektrifikasi luar bandar, telekomunikasi, infrastruktur pendidikan dan pengangkutan bandar. 

“Antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan ialah rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Rangkaian Bekalan Air Sarawak, Kawasan Tertekan, Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES), serta projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah (RECODA) merangkumi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). 

“Turut dilaksana ialah pembinaan Menara SMART dan rangkaian Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN),” jelasnya. 

Menurut Uggah, projek sistem pengangkutan bandar turut diberi tumpuan, khususnya Kuching Urban Transportation System (KUTS) yang sedang dibangunkan secara berfasa, termasuk komponen ART sebagai tulang belakang mobiliti moden di Greater Kuching. 

“Jika kita bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Persekutuan, banyak projek akan menjadi perlahan. 

“Melalui Pembiayaan Alternatif, Sarawak bergerak mengikut kemampuan sendiri dan tidak terikat kepada kelewatan luar,” jelasnya. 

Beliau berkata kaedah pembiayaan tersebut bukan sahaja mempercepatkan pembinaan, malah membolehkan kerajaan memberi fokus kepada projek yang memberi manfaat segera kepada rakyat seperti akses jalan raya, rangkaian komunikasi, bekalan air dan elektrik. 

Katanya, kerajaan negeri turut menekankan bahawa pendekatan itu selaras dengan strategi mempercepat transformasi pembangunan negeri di bawah PCDS 2030, termasuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. 

“Keutamaan kita jelas, mempercepat pembangunan, memperkukuh rangkaian infrastruktur dan memastikan rakyat luar bandar menikmati kemudahan yang setara dengan kawasan bandar,” katanya. 

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Bantuan RM20,000 untuk setiap kontraktor Bumiputera di bawah PUTERA
Next: DUN: Sarawak rangka Pelan Induk PPP 2026–2035, tarik pelaburan swasta dalam projek awam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.