Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak sasar jadi hab logistik serantau menerusi Pelan Induk Pelabuhan
  • SEMASA

DUN: Sarawak sasar jadi hab logistik serantau menerusi Pelan Induk Pelabuhan

Utusan Sarawak 3 days ago
PEMINDAHAN status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri kini berada di peringkat akhir rundingan, dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak kini berada di landasan untuk menjadi hab logistik dan perdagangan serantau menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak yang bersifat transformasi dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurut Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pelan tersebut bukan sekadar rancangan fizikal, malah satu pelan hala tuju strategik untuk menjadikan pelabuhan sebagai pemacu ekonomi negeri.

“Pelan ini adalah visi transformasi yang mana pelabuhan kita bukan sekadar titik transit, tetapi menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak yang moden, cekap dan berdaya saing di peringkat global.

“Pelan ini dibina berasaskan empat pemacu utama iaitu penstrukturan tadbir urus pelabuhan, pemodenan infrastruktur dan zon bebas, pemerkasaan ekonomi pelbagai sektor dan peningkatan keterhubungan logistik.

“Matlamat kita jelas iaitu menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo dan rantau ini dengan pelabuhan yang menarik pelabur asing dan mampan dari segi kewangan dan alam sekitar,” katanya semasa penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Tambah beliau, antara projek penting di bawah pelan itu ialah pembangunan Tanjung Embang Deep Sea Port yang kini sedang menjalani kajian teknikal dan kelayakan ekonomi termasuk penilaian impak alam sekitar, arus laut dan daya tahan reka bentuk.

“Pemindahan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri kini berada di peringkat akhir rundingan, dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

“Dengan pewujudan Lembaga Pelabuhan Sarawak (Sarawak Ports Authority) melalui Ordinan baharu yang diluluskan pada Mei 2024, kita kini bergerak ke arah satu sistem pentadbiran tunggal pelabuhan,” jelasnya.

Beliau mengulas lanjut bahawa langkah tersebut turut disusuli dengan pengkorporatan semua pelabuhan sedia ada di Sarawak agar lebih cekap dari segi pengurusan aset dan operasi yang dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.

Pelaksanaan Pelan Induk Pelabuhan tersebut diyakini bakal memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam ekosistem logistik dan perdagangan antarabangsa, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan dan berdaya tahan.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: RM500 juta diluluskan di bawah MARRIS untuk naik taraf jalan raya Sarawak 2025
Next: DUN: Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak dapat kelulusan untuk melabur secara global 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.