
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM403.25 juta bagi pembangunan 15 taman perindustrian dan 15 anjung usahawan di seluruh negeri dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, inisiatif ini bertujuan memperluaskan infrastruktur perniagaan dan pembuatan ke kawasan pekan kecil serta luar bandar bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik pelaburan swasta yang lebih tinggi menjelang 2030.
“Projek-projek pembangunan ini kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk pengecaman tapak, permohonan siting, pengambilan tanah, reka bentuk dan penyediaan tender,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Tambah beliau, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kementeriannya telah menyiapkan enam taman perindustrian merangkumi 119 ekar dengan kos RM132.1 juta di Kuching, Sri Aman, Betong, Bintulu dan Miri serta membina dua Anjung Usahawan di Bahagian Kuching dengan kos RM19.2 juta.
“Susulan permintaan yang semakin meningkat, pembangunan fasa berikutnya merangkumi lima taman perindustrian baharu di Kuching, Sibu dan Bintulu yang melibatkan kawasan seluas 417 ekar serta empat projek anjung usahawan dengan peruntukan RM139.1 juta.
“Perkembangan dua projek sokongan strategik berkaitan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu Taman Bioindustri Sarawak di Kota Samarahan dan Taman Teknologi Hijau Kota Petra di Kuching yang dijangka menarik lebih RM14 bilion pelaburan swasta serta mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.
Beliau turut menghargai kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Program Pembangunan Premis Tamu Desa yang telah menaik taraf 39 tamu desa di seluruh Sarawak dengan kos kira-kira RM8 juta.
“Kementerian komited mencapai matlamat strategik merangkumi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Saya menggesa semua pihak termasuk agensi persekutuan, negeri dan sektor swasta untuk memperkukuh kerjasama dalam merealisasikan aspirasi PCDS 2030,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah