Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak perlu Kabinet berskala ‘negara’ bagi urus mandat dan ekonomi RM12 bilion
  • SEMASA

DUN: Sarawak perlu Kabinet berskala ‘negara’ bagi urus mandat dan ekonomi RM12 bilion

Utusan Sarawak 15 hours ago
PERBAHASAN… Dayang Noorazah Awang Sohor ketika sesi Perbahasan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarawak perlu memiliki kapasiti Kabinet berskala lebih besar bagi mengurus tanggungjawab ekonomi dan autonomi yang setanding negara-negara kecil, demikian hujah Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga – GPS), ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 hari ini.

Beliau menegaskan had maksimum 10 menteri yang digubal pada era 1960-an tidak lagi sesuai memandangkan Sarawak kini mengurus belanjawan melebihi RM12 bilion setahun dan portfolio kompleks seperti tenaga hidrogen, ekonomi digital, pelaburan global serta pengurusan dana kekayaan berdaulat.

“Sarawak bukan lagi Sarawak pada 1963. Kita mengurus Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat, kita berunding tenaga dengan Jepun, Korea dan Singapura, kita mengawal sektor tenaga sendiri melalui Petros. Kabinet kita tidak boleh kekal kecil seperti dulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. 

PERBAHASAN… Datuk Hamzah Brahim ketika sesi Perbahasan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini. Foto UKAS

Noorazah, berkata Sarawak kini beroperasi pada tahap yang menyerupai negara kecil, khususnya dalam sektor tenaga, rundingan antarabangsa, eksport tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan pelaburan global.

“Negara seperti Norway, Qatar atau Abu Dhabi ada struktur eksekutif yang kuat untuk mengurus tenaga dan dana kekayaan berdaulat. Sarawak tidak boleh berunding seperti negara di luar, tetapi mentadbir seperti daerah di dalam,” tegasnya.

Sementara itu, Datuk Hamzah Brahim (Stakan-GPS), berkata formula ’10 menteri + 1 Premier’ kini tidak lagi mampan kerana sebahagian menteri terpaksa mengemudi lebih daripada sebuah kementerian, sedangkan beberapa fungsi penting hanya boleh dijalankan oleh menteri penuh mengikut Perlembagaan.

“Tanggungjawab seorang menteri ialah tugas sepenuh masa. Apabila seorang menteri memegang dua atau tiga kementerian, sudah tentu fokus terjejas. Kita perlukan struktur Kabinet yang membolehkan setiap portfolio diberi perhatian penuh,” katanya.

Datuk Hamzah turut menolak pandangan bahawa saiz populasi Sarawak harus menjadi asas menentukan saiz Kabinet, sambil menegaskan Sarawak jauh lebih luas dan kompleks dibandingkan negeri-negeri lain.

“Melaka yang kecil pun memerlukan Exco yang besar. Mustahil Sarawak yang berkali ganda lebih besar dari segi geografi, projek luar bandar, rangkaian sungai dan keperluan pedalaman, boleh beroperasi dengan Kabinet yang kecil,” katanya.

Beliau menambah bahawa pertumbuhan ekonomi pesat, status Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan hala tuju pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menuntut pengawasan eksekutif yang lebih rapi bagi memastikan projek dan inisiatif besar berjalan lancar.

“Cabaran Sarawak sekarang bukan lagi kekurangan wang, tetapi memastikan setiap dasar dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. Untuk itu, kita perlukan menteri yang fokus dan portfolio yang terurus,” katanya.

RUU tersebut yang membenarkan penambahan sehingga empat menteri baharu disifatkan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan sebagai langkah penting bagi memastikan pentadbiran Sarawak dapat bergerak seiring perkembangan semasa dan transformasi ekonomi negeri.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Jurang pembangunan luar bandar jadi fokus penambahbaikan – Dennis Ngau
Next: DUN: Langkah strategik perluas penyertaan kepimpinan negeri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.