

PETRA JAYA: Sarawak bakal mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemain utama dalam ekosistem tenaga bersih serantau menerusi penganjuran Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) edisi ke-6 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menurut Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, penganjuran kali ini membawa tema ‘Dari Sarawak ke Dunia: Perjalanan Menuju Kepimpinan Tenaga Bersih’ yang mencerminkan aspirasi negeri dalam memacu kepimpinan tenaga bersih di rantau Asia Pasifik.
“IEW 2025 dijangka menarik penyertaan lebih 6,500 peserta dari 25 negara, peningkatan 18 peratus berbanding tahun lalu yang menandakan IEW kini menjadi antara platform paling berpengaruh dalam kalendar tenaga serantau.
“Ruang pameran telah habis ditempah dengan penyertaan lebih 400 syarikat yang akan mempamerkan teknologi tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, grid pintar, kecekapan tenaga, CCUS dan infrastruktur hijau.
“Dengan lebih 200 gerai pameran, kami menjangkakan potensi urus niaga melebihi USD2.5 juta sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media IEW 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, antara pengisian utama IEW 2025 termasuk Dialog Visi bersama Premier Sarawak, forum menteri berkaitan transformasi tenaga dan ekonomi, serta sesi panel pakar yang menyentuh dasar ASEAN, pembangunan mampan dan inovasi.
“IEW 2025 turut menampilkan program pemerkasaan belia, pembangunan tenaga kerja, ceramah teknikal serta sesi kerjaya bagi mempersiapkan generasi baharu dalam sektor tenaga.
“Sarawak kini menjana lebih 70 peratus tenaga elektriknya menerusi hidro boleh diperbaharui dan terus memperkukuh teknologi solar, biojisim serta hidrogen.
“Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang memiliki fasiliti pengeluaran hidrogen komersial dan stesen pengisian semula, seiring dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama seperti ENEOS, Siemens Energy, Technip Energies dan Velesto Energy yang menyokong kejayaan acara tersebut.
“Lebih 50 penceramah terkemuka dan 400 perwakilan akan menyertai 20 sesi rasmi IEW yang dirancang rapi sepanjang tiga hari penganjuran.
“IEW 2025 turut mendapat kerjasama padu daripada Business Events Sarawak (BESarawak), MYCEB, EIC, TEEAM, MGA, MPIA dan MOGSC dalam menjadikan Sarawak sebagai pusat perbincangan tenaga bertaraf dunia,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah