Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak perkenal tiga seksyen baharu, perkukuh tadbir urus tanah
  • SEMASA

DUN: Sarawak perkenal tiga seksyen baharu, perkukuh tadbir urus tanah

Utusan Sarawak 13 hours ago
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bercakap semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. -Foto UKAS

PETRA JAYA: Tiga seksyen baharu diperkenalkan dalam Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2025 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus tanah Sarawak, khususnya dalam kawalan sumber bumi, pengiktirafan wakaf pelbagai agama serta pengurusan utiliti selepas pembinaan.

RUU yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dijangka memberi impak besar kepada sistem pengurusan dan pentadbiran tanah negeri, agar lebih responsif, moden dan inklusif.

“Antara seksyen baharu yang diperkenalkan ialah Seksyen 32AA yang secara khusus mengawal pengangkutan bahan batuan keluar dari Sarawak. 

“Pindaan ini menutup jurang perundangan sedia ada dengan menetapkan bahawa mana-mana pihak yang membawa bahan batuan ke luar sempadan negeri tanpa lesen sah akan berdepan hukuman denda minimum RM100,000 dan maksimum RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau mengulas lanjut, seksyen baharu kedua yang diperkenalkan, Seksyen 171A, membolehkan pendaftaran tanah wakaf atau amanah agama secara rasmi dalam Daftar Tanah. 

“Peruntukan ini bukan sahaja memberi kuasa kepada Majlis Islam Sarawak untuk mendaftarkan wakaf, tetapi turut meliputi agama lain yang mempunyai konsep setara. 

“Langkah ini mencerminkan pendekatan progresif dan inklusif kerajaan dalam menjaga kepelbagaian kepercayaan di Sarawak,” jelasnya.

Tambah beliau, satu lagi seksyen penting yang dimasukkan ialah Seksyen 234A, yang mewajibkan pemaju untuk mengemukakan pelan utiliti sebenar (as-built utility survey) selepas sesuatu projek pembangunan siap sepenuhnya. 

“Data yang diperoleh menerusi pelan ini akan menyokong usaha kerajaan negeri dalam pemetaan utiliti, penyelenggaraan jangka panjang dan perancangan infrastruktur yang lebih sistematik.

“Pindaan-pindaan ini penting untuk memastikan pengurusan tanah kita selari dengan keperluan semasa, termasuk dari segi teknologi, perundangan dan pentadbiran. 

“Ini juga membantu Sarawak kekal berada di landasan pembangunan mampan mengikut hala tuju PCDS 2030,” ujar beliau.

Untuk rekod, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 melibatkan pindaan terhadap 24 seksyen sedia ada dan penambahan tiga seksyen baharu secara keseluruhan yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pemodenan prosedur, digitalisasi, serta penyelarasan perancangan pembangunan dan utiliti.

Oleh Masrin Affirah & Amanda L.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: LHDN-CTIM Forum Roadshow, platform fahami isu semasa percukaian
Next: DUN: RUU Pindaan Kanun Tanah 2025 fokus pemodenan, penguatkuasaan digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.