
PETRA JAYA: Sarawak terus memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian sebagai langkah strategik dalam menjamin daya tahan serta kelestarian sekuriti makanan negeri ini.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, pelbagai strategi holistik telah dikenalpasti dan dilaksanakan bagi menangani cabaran semasa dan akan datang dalam sektor pertanian Sarawak.

“Antara projek penyelidikan yang sedang dijalankan termasuk penilaian prestasi hasil, kualiti pemakanan dan rasa padi tradisional seperti Biris dan Bajong, selain Adan atau Bario.
“Penyakit Bacterial Panicle Blight yang mula dikesan di Sarawak pada 2020 kini menjadi ancaman utama kepada pengeluaran padi dengan kadar jangkitan tinggi dikesan dalam varieti moden dan tradisional.
“Sebanyak 3,663 sampel padi telah dianalisis sejak Mei 2024 dan kita berjaya membangunkan kaedah diagnostik molekul untuk mengesan patogen tersebut,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, inisiatif R&D turut merangkumi pembangunan baja alternatif daripada sisa pertanian, penggunaan teknologi pertanian pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) serta analisis makmal berakreditasi ISO untuk menilai kandungan tanah dan sisa racun perosak.
“Sebanyak 25 sesi perkongsian ilmu telah diadakan antara Mei 2024 hingga Mei 2025 melibatkan sekurang-kurangnya 855 peserta dalam usaha memperluas teknologi pertanian pintar di lapangan.
“Kerjasama pelbagai pihak juga giat dijalankan termasuk projek tanaman kopi melibatkan enam kampung di Kuching dan Serian bersama syarikat swasta, serta projek ternakan lebah kelulut di Gunung Lesong-Ulu Sebuyau bersama WWF dan komuniti setempat.
“Antara projek lain termasuk pertanian strawberi, tomato ceri, asparagus di Bario, mempelam di Bekenu dan durian kuning di Limbang, serta konsep perintis penanaman Terung Asam Sarawak menggunakan sistem fertigasi di Sematan,” jelasnya.
Dengan pendekatan bersepadu tersebut, Sarawak dilihat berada pada landasan kukuh untuk memperkukuh keselamatan makanan negeri melalui inovasi berteraskan penyelidikan.
Oleh Masrin Affirah