

PETRA JAYA: Pemansuhan Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh asas kewangan negeri serta mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih mampan dan efisien.
Royston Valentine (GPS – Tellian), berkata Rang Undang-Undang (RUU) (Pembubaran) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 membolehkan baki dana sedia ada dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
“Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan sumber kewangan, selain membolehkan kerajaan merancang projek pembangunan berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyokong RUU berkenaan yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Royston turut menegaskan bahawa penggabungan dana ini tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri.
Sebaliknya, ia berpotensi mengurangkan kos pentadbiran serta memastikan penggunaan dana yang lebih telus dan memberi impak tinggi kepada rakyat.
“Inisiatif ini selari dengan usaha kerajaan Sarawak dalam memperkemas dasar pembangunan serta meningkatkan tadbir urus kewangan awam,” katanya lagi sambil menyatakan keyakinan bahawa pendekatan ini akan menjadikan pelaksanaan pembangunan lebih strategik dan lestari demi kesejahteraan rakyat Sarawak.