
PETRA JAYA: Sarawak akan mempromosikan pembangunan inklusif dan pengagihan kekayaan yang saksama bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita akan merapatkan jurang pembangunan wilayah dan memastikan kemakmuran dikongsi oleh semua segmen masyarakat,” kata Premier Sarawak ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Abang Johari berkata rangka Kerangka Fiskal Belanjawan Sarawak 2026 adalah berteraskan lima tonggak strategik seperti berikut:
Pertama, akan memperkukuh pembaharuan fiskal dan struktur bagi memastikan sistem kewangan kekal kukuh, telus dan adaptif terhadap landskap ekonomi yang sentiasa berubah. Pembaharuan ini penting untuk membina asas yang menyokong pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang.
Kedua, menegaskan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang berhemat. Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi pulangan nilai kepada rakyat, dan setiap pelaburan mesti selaras dengan agenda pembangunan negeri secara menyeluruh. Disiplin fiskal akan kekal sebagai tonggak tadbir urus kita.
Ketiga, akan melaksanakan belanjawan berunsur pengembangan (expansionary budget) yang merangsang pertumbuhan ekonomi dan permintaan domestik. Dengan melabur dalam infrastruktur, pendidikan dan modal insan, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, pendigitalan serta kelestarian alam sekitar, kerajaan berhasrat membuka peluang baharu dan melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Keempat, komited meningkatkan hasil melalui sumber yang pelbagai, termasuk pelaburan strategik dalam industri berimpak tinggi, perluasan inisiatif ekonomi digital serta pengurusan lestari sumber asli. Ini akan membolehkan kerajaam membiayai projek transformasi berimpak tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup serta menjamin kemakmuran jangka panjang rakyat.
Akhir sekali, Sarawak akan mempromosikan pembangunan inklusif dan pengagihan kekayaan yang saksama bagi memastikan tiada rakyat Sarawak yang ketinggalan.
“Kita akan merapatkan jurang pembangunan wilayah dan memastikan kemakmuran dikongsi oleh semua segmen masyarakat,” katanya.
Menurut Abang Belanjawan Sarawak 2026 berfokus kepada lima matlamat utama seperti berikut:
i) Mengubah Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi;
ii) Meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat melalui inisiatif berfokus rakyat dan pembangunan;
iii) Memperkukuh kedudukan fiskal negeri ke arah kelestarian kewangan jangka panjang;
iv) Memposisikan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau dan destinasi pelaburan utama di Malaysia; dan
v) Mengubah Sarawak menjadi hab tenaga boleh diperbaharui dan hijau.
Berpandukan matlamat ini, katanya, Belanjawan Sarawak 2026 dirangka berdasarkan sembilan Teras Strategik seperti berikut:
1. Mengubah dan Memperlbagaikan Ekonomi Sarawak
2. Menggalakkan Pelaburan dan Memperkukuh Industri Strategik
3. Membangun Pendidikan Berkualiti Tinggi dan Modal Insan
4. Memelihara dan Mengurus Sumber Asli Secara Lestari demi Kelestarian Alam Sekitar
5. Merapatkan Jurang Pembangunan dan Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi Luar Bandar
6. Melindungi Kelangsungan Hidup Rakyat
7. Memperkukuh Pembangunan Budaya, Sukan dan Belia
8. Merangsang Penyelidikan & Pembangunan, Sains & Teknologi serta Inovasi
9. Memantapkan Keupayaan Kerajaan dan Penyampaian Perkhidmatan Awam