
FotoUKAS
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pengurusan sumber hutannya melalui pelaksanaan Permit to Enter Coupe (PEC), termasuk di kawasan hutan bakau, sebagai langkah kawalan dan pemantauan yang lebih ketat.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh (GPS – Kuala Rajang), sebagai jawapan kepada pertanyaan Azizul Annuar Pehin Sri Adenan (GPS–Tanjong Datu) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, PEC merupakan dokumen rasmi yang wajib dimiliki oleh semua pemegang lesen pembalakan, termasuk lesen bagi kawasan hutan bakau, sebelum sebarang operasi dibenarkan.
Permit ini adalah sebahagian daripada usaha pengurusan mampan dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan negeri.
“Bagi kawasan lesen bakau, hanya pelan penuaian umum (General Harvesting Plan) diperlukan, dan PEC yang dikeluarkan sah untuk tempoh sembilan bulan,” jelas beliau.
Menjawab soalan tambahan, Len Talif berkata pelaksanaan sistem PEC membawa pelbagai manfaat.
Antaranya termasuk pengurusan sumber kayu bakau secara mampan melalui kawalan saiz dan pusingan tebangan, mengelakkan penebangan berlebihan berdasarkan data bancian pokok, serta membendung aktiviti pembalakan haram dan pencerobohan di luar kawasan lesen.
“Sistem ini turut memperkukuh usaha pemuliharaan pesisir pantai, menyokong mitigasi perubahan iklim, dan memastikan kelestarian industri kayu bakau serta pembangunan sosioekonomi komuniti tempatan,” tambahnya.
Sebagai langkah mempertingkat keberkesanan sistem PEC, kerajaan telah menganjurkan sesi taklimat kepada pemegang lesen bakau pada 10 Februari lalu di Kuching.
Selaras dengan DF Circular No.2/2019, pemegang lesen juga diwajibkan menanam semula pokok bakau dalam jumlah yang sama atau lebih daripada yang telah ditebang.
Buat masa ini, sistem PEC telah dilaksanakan di Sarikei, khususnya di kawasan Lembangan Rejang, dan akan diperluaskan ke seluruh Sarawak sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh dalam memelihara dan mengurus hutan bakau negeri.
Oleh Norman B.