Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak catat 4.01 juta pelawat, hasil pelancongan lebih RM10.22 bilion
  • SEMASA

DUN: Sarawak catat 4.01 juta pelawat, hasil pelancongan lebih RM10.22 bilion

Utusan Sarawak 1 hour ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika memyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA:  Industri pelancongan Sarawak terus menunjukkan prestasi kukuh apabila merekodkan 4.01 juta ketibaan pelawat dari Januari hingga Oktober tahun ini, peningkatan 0.7 peratus berbanding tempoh sama 2024 meskipun berdepan cabaran krisis geopolitik.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pasaran ASEAN kekal sebagai penyumbang utama pelancongan Sarawak dengan Brunei Darussalam mencatat 1.3 juta pelawat atau 32.6 peratus, diikuti Indonesia sebanyak 583,568 pelawat bersamaan 14.5 peratus.

“China dengan 58,822 pelawat, Singapura (52,406) dan Filipina (39,284) terus menjadi antara penyumbang utama. 

“Pelancongan domestik juga kekal relevan dengan 1.77 juta pelawat, iaitu 44.1 peratus daripada keseluruhan,” 

“Dengan strategi pemasaran yang lebih meluas, penyertaan dalam acara pelancongan antarabangsa, kepelbagaian produk, peningkatan hubungan udara serta promosi digital yang agresif, kita menjangka ketibaan pelawat akan terus meningkat pada tahun mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. 

Tambah beliau, sektor pelancongan terus memberikan impak ekonomi signifikan kepada negeri.

“Dari Januari hingga Oktober, Sarawak menjana RM10.22 bilion hasil pelancongan dengan purata melebihi RM1 bilion setiap bulan. 

“Peningkatan ini memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutamanya sektor hospitaliti,” jelasnya. 

Tambah beliau, acara dan festival utama kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan pelancongan Sarawak dengan kementerian menyokong lebih 351 acara tahun ini.

“Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Ke-11 mencatat penyertaan terbesar setakat ini, melibatkan 2,443 peserta dari 22 negara.

“AIFFA Ke-7 juga berjaya menghimpunkan lebih 300 delegasi ASEAN, ditambah kemunculan ikon filem Hong Kong Simon Yam yang mencuri perhatian peminat tempatan serta tular di media sosial.

“Pelbagai acara lain turut mendapat sokongan kerajaan termasuk Samarahan Bike Challenge, Pesta Babulang dan Lumba Kerbau, Festival Budaya Borneo, Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo, Pesta Benak dan Festival Jazz Borneo,” ujarnya.

Beliau memaklumkan menjelang akhir tahun ini, Sarawak bakal terus meriah dengan penganjuran Sibu International Bike Week, SIFMA 6.0, Regata Lingga, Konsert SEARCH & XPDC, Festival Kebudayaan Kenyah dan acara sambutan Malam Tahun Baharu 2026.

Prestasi positif industri pelancongan itu dilihat sebagai cerminan keberkesanan strategi promosi kerajaan negeri dalam meningkatkan ketibaan pelawat serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak kukuh keselamatan penerbangan melalui SASP, peraturan zon dron baharu
Next: DUN: Mukah perkenal laluan budaya Melanau, tarik pelancong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.