KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak 2022 diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi , berkata ini bagi membolehkan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun menjadi ‘e-didayakan’ (e-enabled) tanpa memerlukan pindaan lanjut kepada undang-undang negeri.
“Tidak semua perkhidmatan kerajaan boleh disampaikan secara atas talian di bawah rangka kerja berkanun sedia ada.
“Banyak undang-undang negeri semasa kita telah digubal, (tetapi) apabila penggunaan teknologi digital, (ia) masih asing.
“Undang-undang negeri ini masih memerlukan, sebagai contoh, tandatangan dalam bentuk bertulis, dokumen untuk diserahkan dalam salinan cetak, dokumen diserahkan secara peribadi atau melalui pos berdaftar dan sebagainya.
“Penerimaan dan penggunaan teknologi digital mungkin dihadkan disebabkan oleh keperluan di bawah undang-undang negeri ini,” katanya ketika sesi pembentangan RUU itu pada sidang DUN harti ini.
Menjelas lanjut, Julaihi berkata undang-undang baharu itu membenarkan penggunaan tandatangan digital atau elektronik, penyimpanan atau penyerahan dokumen dilakukan secara elektronik, permohonan digital dan kelulusan lesen serta permit, penubuhan daftar elektronik serta pembayaran dibuat secara dalam talian dan resit dikeluarkan secara elektronik.
Katanya, dengan RUU baharu itu, kerajaan sedang bergerak ke arah mencapai aspirasinya dalam menyediakan perkhidmatan kerajaan digital hujung ke hujung (end-to-end) 100 peratus.
“Ia juga menetapkan asas bagi transformasi digital dan ekonomi digital negeri.
“Tambahan pula, RUU ini juga adalah selaras dengan aspirasi Premier Sarawak untuk menjamin masa depan negeri ini sebagai ekonomi dan masyarakat digital yang moden dan terkemuka menjelang 2030,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA