
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak bakal mengambil alih serta menukar jalan balak aktif dan tidak aktif, termasuk Jalan Raya Kampung dalam kawasan balak, kepada Jalan Raya Negeri (JRN).
Langkah itu melibatkan keseluruhan 5,977 kilometer rangkaian jalan yang merangkumi kawasan Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, langkah itu bertujuan membolehkan penyedia perkhidmatan melaksanakan kerja penyelenggaraan rutin dan berkala.
“Ini sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan hubungan antara penempatan serta bandar terdekat, selain menyokong kesejahteraan sosioekonomi masyarakat setempat.
“Sarawak kini telah mencapai kira-kira 78 peratus liputan jaringan jalan raya, namun usaha masih diteruskan untuk memastikan setiap kampung, rumah panjang dan penempatan jauh mendapat sambungan.
“Strategi kerajaan kini memanfaatkan jalan sedia ada untuk mempercepatkan pencapaian ini,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada sidang DUN hari ini.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh ADUN Ba’Kelalan, Baleh, Engkilili, Ngemah, Telang Usan dan Murum, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih jalan balak.
Jalan berkenaan akan dimasukkan ke dalam Program Penyelenggaraan Jalan Negeri (JRN) bagi memastikan penyelenggaraan lebih sistematik serta memberi manfaat kepada penduduk di kawasan terlibat.
Tambahnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan peruntukan RM988.16 juta bagi menaik taraf dan memperbaiki 11 jalan balak terbiar di seluruh negeri.
Status terkini projek tersebut adalah seperti berikut:
• Dua projek telah siap dilaksanakan, iaitu di Bahagian Sibu dan Sarikei (Projek Naiktaraf Bekas Jalan-Jalan Balak Negeri Sarawak Fasa 4);
• Enam projek sedang dalam pembinaan;
• Tiga projek berada di peringkat prakontrak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa JKR Sarawak menerima peruntukan RM435 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan bagi memastikan jalan negeri sentiasa dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.
“Langkah ini dijangka memperkukuh jaringan jalan raya, meningkatkan keselamatan, serta mempercepat pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah