Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Salcra perkenal sistem SRORS tingkat kecekapan, kurang pembaziran sawit
  • SEMASA

DUN: Salcra perkenal sistem SRORS tingkat kecekapan, kurang pembaziran sawit

Utusan Sarawak 2 days ago
MENTERI Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

PETRA JAYA: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) memperkenalkan sistem baharu bagi mengurangkan pembaziran minyak sawit dan meningkatkan kecekapan operasi menerusi kolaborasi strategik dengan penyedia teknologi swasta.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, sistem yang dikenali sebagai Solid Removal and Oil Recovery System (SRORS) itu telah mula beroperasi di Bau Palm Oil Mill Sdn. Bhd. sejak Februari 2025.

“Sistem ini dibangunkan melalui model Build, Operate and Transfer (BOT) yang memberi fokus kepada pemulihan minyak sawit daripada efluen kilang serta pengurusan sisa yang lebih lestari.

“Pelaksanaan sistem SRORS membolehkan minyak yang sebelum ini hilang atau terbuang dalam proses pemprosesan dapat dikitar semula dan dimanfaatkan semula sebagai sumber bernilai.

“Langkah ini bukan sahaja memaksimumkan hasil daripada tandan buah segar (FFB), malah sejajar dengan agenda ekonomi pusingan yang digalakkan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau mengulas lanjut bahawa sistem itu membuktikan bagaimana pendekatan teknologi boleh mengubah sisa menjadi kekayaan dengan memperbaiki prestasi kilang sawit serta mengurangkan kesan alam sekitar.

“Saya menggalakkan baki 80 kilang kelapa sawit lain di Sarawak untuk mempertimbangkan penggunaan sistem seumpama ini demi mewujudkan industri sawit yang mampan dan berdaya tahan.

“Kami akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Besar Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan bagi merangka pendekatan kawal selia serta galakan yang sesuai.

“Inisiatif ini juga merupakan satu contoh jelas bagaimana inovasi teknologi dapat disepadukan dalam sektor komoditi untuk memperkukuh daya saing industri negeri,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa kecekapan operasi dan kelestarian merupakan kunci utama dalam menjadikan sektor sawit Sarawak lebih moden dan mesra alam.

Sebagai latar belakang, SRORS ialah teknologi pemulihan minyak yang menyaring minyak yang masih boleh digunakan daripada efluen sawit, sekali gus menyumbang kepada pengurangan pembaziran dan pencemaran.

Usaha ini dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan landskap industri kelapa sawit Sarawak ke arah penggunaan teknologi hijau menjelang 2030.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Fokus pemerkasaan wanita, sokongan sosial, kebajikan
Next: Pelajar Sarawak rayu bantuan, krisis air di UMS berlarutan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.