

PETRA JAYA: Program Sarawak–Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan sebanyak 3,141 permohonan diluluskan sejak ia mula dilaksanakan pada Januari 2007 hingga pertengahan Mei tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah tersebut, 1,240 permohonan diluluskan semasa program diuruskan oleh Jabatan Imigresen Sarawak (2007–2019), manakala baki 1,901 permohonan disahkan selepas kementeriannya mengambil alih pada 2020.
“Bagi tempoh Januari hingga pertengahan Mei 2025 sahaja, sebanyak 265 permohonan telah diluluskan, menjana simpanan tetap berjumlah RM65.3 juta.
“Lima negara utama penyumbang peserta S-MM2H ialah China (513 peserta), United Kingdom (384), Taiwan (277), Hong Kong (267) dan Amerika Syarikat (262),” katanya pada sesi penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menguruskan Lesen Perniagaan Pelancongan tempatan bagi program tersebut di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Kuasa ini telah disampaikan melalui Surat Komisen MOTAC bertarikh 30 Oktober 2024 dan mulai 1 Januari 2025, kita melaksanakan kerangka pelesenan khas bagi ejen program S-MM2H,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penubuhan Panel Bank S-MM2H yang menawarkan perkhidmatan khas termasuk pembukaan akaun simpanan tetap dan pakej perbankan eksklusif untuk pemohon.
Katanya, Sarawak turut mencatat peningkatan dalam Skor Pengalaman Keseluruhan (TES) pelancong bagi Mac 2025, dengan markah 8.7 – merangkumi penilaian berangka 8.6 dan penilaian sentimen 8.8.
“Ini menunjukkan tahap kepuasan dan emosi positif yang tinggi dalam kalangan pelancong, berdasarkan ulasan di platform seperti Google Reviews, Agoda, Booking.com, TripAdvisor, dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata, kedudukan geografi Sarawak kekal menjadi tarikan utama dengan skor tertinggi 9.1, disokong peningkatan 28.5 peratus dalam jumlah ulasan dalam talian.
Katanya, sebagai usaha promosi berasaskan data, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah menjalankan empat kaji selidik pasaran melibatkan Eropah, India, Indonesia dan pasaran domestik serta menyertai pelbagai pameran pelancongan antarabangsa termasuk ITB Berlin, ITB China, ITB Asia, WTM London dan MATTA Fair.
Sebanyak 24 inisiatif pemasaran telah dilaksanakan dalam suku pertama 2025, mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama serantau dan antarabangsa.
Oleh Norman B