
PETRA JAYA: Rang Undang-Undang Komposisi Keanggotaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 2025 disifatkan sebagai sah dari segi Perlembagaan dan bersifat ke hadapan dalam memenuhi keperluan semasa, kata Yakub Arbi (GPS- Balingian).
Menurut beliau, Rang undang-undang ini bukan soal persempadanan semata-mata. Ia menyentuh hak setiap rakyat Sarawak untuk diwakili secara adil dalam Dewan ini.
Tambah beliau, wujud ketidakseimbangan ketara dalam jumlah pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar, namun kedua-duanya hanya mempunyai seorang wakil rakyat.
“Keadaan ini jelas bercanggah dengan prinsip satu orang, satu undi, satu nilai. Melalui rang undang-undang ini, kita mahu menyusun semula kawasan supaya lebih adil dan seimbang, “katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang tersebut pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
“Pertambahan jumlah pengundi susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik yang menuntut semakan semula jumlah serta sempadan kawasan sedia ada.
“Kira-kira 40,000 lepasan SPM akan menjadi pengundi berdaftar setiap tahun dan tanpa langkah penyesuaian, kawasan padat akan terus dibebani dengan jumlah pengundi yang tinggi,” jelasnya.
Beliau megulas lanjut bahawa realiti geografi Sarawak turut menjadi pertimbangan penting dalam penambahan kerusi bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan wakil rakyat.
“Terdapat kawasan pedalaman yang sangat luas dan sukar diakses, manakala kawasan pesat membangun pula padat, menjadikan tugas seorang ADUN semakin mencabar.
“Penambahan kerusi ini tidak membabitkan pertambahan kerusi Parlimen, sebaliknya kekal dalam sempadan 31 kawasan Parlimen sedia ada.
“Fokus kita ialah memperkukuh tadbir urus di peringkat negeri. Dari sudut perundangan, pindaan hanya melibatkan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2014 [Bab 70] dan tidak memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Negeri,” ujarnya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa rang undang-undang tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh demokrasi dan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya, sekali gus menjamin kestabilan politik Sarawak.
Oleh Masrin Affirah