
PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2025 dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan serta memacu pemodenan pentadbiran tanah melalui penggunaan teknologi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi semasa sesi perbahasan berkata, pindaan yang dibawa penting bagi menangani isu-isu berkaitan pencerobohan, pendudukan haram dan pengambilan sumber secara tidak sah yang semakin meningkat di negeri ini.

Menurut beliau, salah satu penekanan utama pindaan ini adalah pengukuhan syarat pelesenan serta penetapan penalti yang lebih tegas terhadap aktiviti pengambilan, pemilikan dan pengangkutan bahan batuan, terutamanya apabila melibatkan penghantaran keluar dari Sarawak.
“Denda maksimum sedia ada iaitu RM5,000 tidak lagi relevan. Kegiatan haram pengambilan bahan batuan untuk tujuan eksport terus berlaku kerana nilai ekonominya jauh melebihi penalti yang dikenakan,” katanya.
Jelasnya lagi, pencerobohan dan pertanian haram atas tanah negeri turut menjejaskan pelaksanaan pelan pembangunan yang dirancang dan memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar serta komuniti setempat.
Dalam pada itu, Abdul Yakub turut menekankan bahawa RUU ini membawa dimensi baharu melalui pelaksanaan transformasi digital, termasuk penggunaan sistem eSPA secara menyeluruh bagi menggantikan proses penyerahan fizikal pelan pembangunan tanah.
Katanya, langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah selaras dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri pintar yang responsif dan dipacu teknologi.
“Transformasi ini bukan sekadar soal kemudahan, tetapi membentuk satu sistem yang lebih boleh dipercayai dan berdaya tahan untuk manfaat agensi kerajaan serta sektor swasta,” tambahnya.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah