Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: RUU Kanun Tanah 2025 perkukuh peranan tanah wakaf demi manfaat rakyat
  • SEMASA

DUN: RUU Kanun Tanah 2025 perkukuh peranan tanah wakaf demi manfaat rakyat

Utusan Sarawak 23 hours ago
DATO Fazzrudin Abdul Rahman membahaskan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2025 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. -Foto JAPEN

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2025 disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan tanah wakaf dan terus memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong strategi pembangunan negeri secara menyeluruh.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, pindaan tersebut membawa dimensi baharu dalam tadbir urus tanah yang lebih tersusun, adil dan inklusif, khususnya melibatkan urusan tanah wakaf.

“Masalah yang sering timbul sebelum ini ialah kekurangan rangka undang-undang yang jelas bagi pendaftaran tanah wakaf, sekali gus menyebabkan kekeliruan serta kelewatan dalam pelaksanaannya. 

“Ini merencatkan hasrat murni individu atau organisasi yang ingin mewakafkan tanah demi kepentingan masyarakat.

“Menerusi pindaan ini, kekangan pentadbiran yang menghalang usaha wakaf akan dapat diatasi melalui struktur undang-undang formal yang lebih kemas dan teratur,” katanya semasa membahaskan rang undang-undang tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambah beliau, tanah wakaf secara asasnya digunakan untuk manfaat umum seperti pembinaan rumah ibadat, institusi pendidikan, dan pusat kebajikan. 

“Justeru, pindaan ini dilihat mampu memperkukuh peranan tanah wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosial masyarakat.

“Kerajaan Sarawak sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan masyarakat dari sudut kerohanian, pendidikan dan kebajikan iaitu selaras dengan teras inklusiviti sosial dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pindaan itu bukan hanya melibatkan konsep wakaf Islam semata-mata, sebaliknya merangkumi amalan endowmen dalam semua kepercayaan agama, selaras dengan peruntukan tanah di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Status sah tanah wakaf yang diperjelaskan melalui pindaan ini juga membolehkan pihak berkuasa awam merancang pembangunan sekitar dengan lebih efektif, mengurangkan pertikaian.

“Ini kembali kepada memelihara niat asal oleh pemberi wakaf, sama ada tanah dikhususkan untuk pembinaan masjid, surau, gereja, kuil, sekolah atau klinik kesihatan kerana sumbangan pemilik tanah tersebut ada kuasa undang-undang yang lebih jelas.

“Inilah masa terbaik untuk kita pastikan tanah wakaf dihormati dalam perancangan pembangunan negeri dan bukan sekadar sumbangan fizikal, tetapi satu legasi yang harus kita pelihara untuk manfaat generasi akan datang,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah & Amanda L.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 langkah tepat atasi kekeliruan sedia ada
Next: DUN: Larangan bawa bahan batuan ke luar Sarawak jamin hasil negeri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.