KUCHING: Sejumlah RM7 juta diperuntukkan kepada InvestSarawak pada 2023, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, penubuhan InvestSarawak adalah untuk mempromosikan Sarawak secara global ke arah menarik pelaburan langsung asing (FDI).
“Kerajaan negeri kekal komited untuk mewujudkan iklim yang ideal untuk pelaburan melalui dasar dan inisiatif yang menarik bagi meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.
“Sarawak telah menjadi salah satu destinasi pelaburan yang paling digemari di Malaysia. Ini berikutan kerajaan negeri yang mesra perniagaan dan sentiasa bersedia untuk memudahkan pelabur.
“Kerajaan negeri menawarkan banyak kelebihan daya saing seperti tanah perindustrian, harga elektrik kompetitif dan tenaga kerja yang berpendidikan,” katanya ketika membentang usul Belanjawan Sarawak 2023 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini
Abang Johari berkata, adalah penting bahawa pertumbuhan menarik kepada sektor perniagaan.
Sementara itu, katanya, keusahawanan juga penting untuk memupuk inovasi, mencipta pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup.
“Kerajaan negeri akan terus menyediakan platform kepada usahawan muda kita untuk menjadi pemimpin perniagaan yang berjaya esok.
“Dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk membantu perniagaan kita pulih. Pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan di bawah Belanjawan 2023 yang memastikan kesinambungan perniagaan.
“Antara lain, pemberian pinjaman mudah, subsidi faedah, bantuan kewangan untuk permulaan, pembangunan produk, pembinaan kapasiti, e-dagang, dan promosi dan pemasaran,” katanya.
Selain itu ialah Tabung Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Tabung Pelancongan PENJANA (PTF) dengan peruntukan RM18 juta; Skim Kredit Mikro Sarawak dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dengan peruntukan RM14 juta.
Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Transformasi Usahawan Desa Sarawak, dengan peruntukan RM7 juta untuk membantu graduan dan lepasan sekolah.
Selain itu, usahawan luar bandar dengan kemahiran teknikal untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka dan Program Go Digital dengan peruntukan RM5 juta bagi membangunkan PKS yang celik digital dan membantu mereka memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui e-dagang.
Oleh NUR AIN OTSMAN