
PETRA JAYA: Sebanyak RM500 juta telah diluluskan di bawah Sistem Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) bagi 2025 sebagai usaha memastikan jalan raya di negeri ini kekal selamat dan berkualiti tinggi.
Menurut Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM495 juta yang diperuntukkan tahun sebelumnya.

“Skor Indeks Prestasi Jalan (RMI) kita kini berada pada tahap 83.04 peratus.
“Kita akan terus menambah baik kualiti jalan melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa rakyat,” katanya ketika ucapan penggulungan di DUN Sarawak, hari ini.
Beliau memberi jaminan kepada semua Ahli Dewan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara menyeluruh meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya ingin memberi jaminan kepada Ahli Yang Berhormat Tanjung Batu dan Tamin bahawa JKR Sarawak akan terus menambah baik keadaan jalan di kawasan masing-masing.
“Usaha penyelenggaraan bukan sahaja melibatkan jalan negeri biasa, tetapi turut meliputi jalan bekas pembalakan di kawasan luar bandar melalui projek rintis selama 24 bulan yang kini sedang dilaksanakan di kawasan Baram.
“Walaupun kita berhasrat mempercepatkan program ini, faktor cabaran geografi tetap menjadi kekangan utama. Justeru, pendekatan pelaksanaan sedang dikaji semula agar lebih berkesan,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa JKR juga sedang menjalankan kajian kemungkinan untuk mengambil alih jalan-jalan bekas pembalakan tidak aktif dan jalan pembalakan aktif daripada pemegang konsesi balak demi manfaat jangka panjang komuniti setempat.
Tambah beliau, langkah penyelenggaraan itu bukan sahaja bertujuan memperbaiki kualiti perjalanan harian tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar sekaligus merapatkan jurang antara kawasan bandar dan pedalaman di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah