
PETRA JAYA: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menerima peruntukan sebanyak RM110 juta tahun ini bagi menyokong pembangunan Rumah Ibadat dan Sekolah Misi, sekali gus menekankan komitmen kerajaan Sarawak terhadap keharmonian antara agama.
Daripada keseluruhan peruntukan, sebanyak RM20 juta telah disalurkan sepenuhnya kepada Sekolah Misi, melibatkan 155 projek di 126 sekolah.
Sementara itu, bagi kategori Rumah Ibadat, UNIFOR telah menyalurkan RM35.78 juta untuk 171 projek, manakala baki RM54.22 juta dijadualkan diagihkan esok.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur serta Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau menekankan bahawa bantuan kewangan berterusan kepada Rumah Ibadat dan Sekolah Misi bukan sekadar urusan kewangan semata-mata, tetapi merupakan usaha berterusan untuk memelihara budaya unik Sarawak dalam hidup bersama secara harmoni antara pelbagai komuniti agama.
“Sarawak adalah antara sedikit tempat di dunia di mana pelbagai komuniti agama boleh berkembang, beribadat, dan membangun secara berdampingan tanpa rintangan.
“Ini selaras dengan visi Premier Sarawak untuk memperkukuh perpaduan sosial sebagai salah satu tonggak pembangunan negeri,” tambahnya.
Oleh Norman B.