PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan digesa agar menghormati tuntutan Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dokumen sejarah, Laporan Suruhanjaya Cobbold serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzruddin Abdul Rahman menegaskan bahawa tuntutan ini berlandaskan asas sejarah dan undang-undang, bertujuan untuk menjaga hak serta keistimewaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Menurutnya, perkara ini bukan hanya sekadar tuntutan politik tetapi satu jaminan perlembagaan yang telah lama termaktub.
“Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan tuntutan ini secara ikhlas, tanpa sebarang agenda tersembunyi yang boleh menafikan hak dan keistimewaan Sarawak.
“Kita telah melihat bagaimana mahkamah menegaskan bahawa dokumen seperti Laporan Cobbold dan IGC adalah perjanjian yang mengikat dan tidak boleh dilanggar tanpa persetujuan Sarawak,” katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut menegaskan pentingnya memastikan perwakilan yang adil di Parlimen dengan membahagikan kawasan berdasarkan kepadatan penduduk.
“Untuk kawasan yang memiliki kepadatan penduduk rendah seperti Baram dan Belaga, pembahagian kerusi perlu adil bagi melindungi hak rakyat di kawasan luar bandar. Saya mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazzruddin turut menyambut baik komitmen kerajaan Sarawak dalam meneruskan bantuan 30 peratus diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar Sarawak.
Menurutnya, inisiatif ini sangat bermanfaat bagi graduan yang baru bekerja, membolehkan mereka melunaskan pinjaman lebih cepat serta meringankan komitmen kewangan bulanan.
“Kerajaan Persekutuan juga telah menawarkan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama, yang pastinya menjadi galakan untuk pelajar mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan inisiatif lain seperti baucar buku dan komputer riba percuma kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah, yang dilihat membantu mengurangkan beban kos pendidikan.
Selain itu, bantuan wang saku sebanyak RM1,200 kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti dan kolej juga sangat dialukan, menggambarkan komitmen negeri dalam memastikan tiada pelajar yang terpinggir daripada menerima pendidikan akibat kekangan kewangan.
“Bantuan ini mencerminkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkasa pendidikan anak-anak Sarawak.
“Dengan subsidi tambang penerbangan, wang saku, dan diskaun bayaran PTPTN, Sarawak berusaha memastikan peluang pendidikan yang adil dan seimbang dapat dinikmati oleh pelajar, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Inisiatif-inisiatif ini penting bagi membentuk generasi yang berdaya saing dan berjaya dalam kerjaya kelak,” katanya.