KUCHING: Cadangan pembangunan kawasan Tebingan Sungai Bintangor adalah projek bernilai kira-kira RM41 juta, jika ia diluluskan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan), Datuk Dr Penguang Manggil berkata, struktur Tebingan Sungai Bintangor yang sedia ada adalah sepanjang kira-kira 250 meter.
“Ia bukan bertujuan untuk projek pengindahan tebingan tersebut tetapi sebagai tembok penahan belian, bertujuan sebagai pelindung kawasan tebing sungai itu.
“Lukisan konsep pembangunan kawasan Tebingan Sungai Bintangor telah siap akan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (UPE),” katanya menjawab pertanyaan Datuk Ding Koung Hiing (GPS-Meradong) di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Katanya, projek tersebut turut merangkumi 15 projek pembangunan.
Penguang berkata, projek itu adalah pembinaan laluan pejalan kaki konkrit lanjutan, taman dan jalan raya, pembinaan struktur limau yang terkenal iaitu ikon Bintangor.
Ia juga meliputi kiosk makanan, pagar keselamatan, tempat perlindungan laluan pejalan kaki, gazebo, jeti konkrit, bangunan terminal bas dan tempat letak kereta, landskap, pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Balai Polis Mini dan Pusat Sehenti (OTC).
Oleh NICKELYSON LAKUN