

PETRA JAYA: Pembinaan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR), projek infrastruktur penting yang bertujuan menghubungkan kawasan pedalaman di utara Sarawak dengan Sabah berjalan lancar setakat April tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata kemajuan projek SSLR Fasa 1 mencapai 52.27 peratus dan berada pada landasan untuk siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2026.
“Bagi SSLR Fasa 2, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan untuk semua pakej, melibatkan pembersihan tapak, kerja tanah, dan sistem saliran.
“Setakat April 2025, kemajuan fizikal keseluruhan adalah sebanyak 0.93 peratus dan dijangka siap pada suku ketiga 2029,” katanya semasa penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Projek SSLR yang bertujuan menyediakan rangkaian jalan raya menghubungkan Limbang, Miri, Lawas, dan Sabah tanpa melalui Brunei, diluluskan secara berfasa oleh kerajaan Persekutuan pada 2021.
Mengenai perkembangan projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB), Uggah berkata projek itu juga menunjukkan kemajuan, dengan seksyen Miri kini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun ini.
“Sementara itu, cadangan perolehan bagi seksyen Limbang dan Lawas telah dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan oleh Lembaga Perolehan (LP).
“Pemberian tender untuk seksyen Miri dijangka pada suku ketiga tahun 2025, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka dianugerahkan pada suku pertama 2026,” katanya. – Bernama