
PETRA JAYA: Projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan dengan JKR pusat dilantik sebagai agensi pelaksana.
Berdasarkan dapatan Makmal Penilaian Nilai, anggaran kos awal projek berkenaan ditetapkan pada RM1.52 bilion.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, JKR kini dalam proses menyiapkan Abstrak Terperinci Peringkat Awal (PDA), iaitu dokumen teknikal penting sebelum kerja pembinaan dimulakan.
“Tempoh pembinaan pusat tersebut dijangka bermula 2026 hingga 2031,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang DUN hari ini.
Menurut Dr Sim, pembinaan Pusat Kanser Sarawak merupakan usaha strategik kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap rawatan di luar Sarawak, khususnya di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Langkah ini juga mempercepatkan akses kepada rawatan kritikal serta mengurangkan kos perjalanan dan beban keluarga pesakit.
Beliau menambah bahawa pusat berkenaan akan dilengkapi kemudahan rawatan menyeluruh termasuk onkologi klinikal, pembedahan, radioterapi dan penyelidikan, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab rawatan kanser utama di rantau Borneo.
Pembangunan tersebut, katanya, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan setanding negeri maju.
Pada masa sama, kementeriannya komited memastikan setiap fasa projek dilaksanakan secara telus dan mengikut jadual dengan kerjasama rapat kerajaan negeri, JKR dan semua pihak berkaitan.
Dr Sim yakin bahawa perancangan rapi serta pelaksanaan berkesan akan memastikan projek mega ini memberikan manfaat optimum kepada rakyat Sarawak dalam jangka panjang.
Oleh Norman B