KUCHING: Belanjawan Sarawak 2023 memperuntukkan RM1.12 bilion untuk mempergiatkan pembangunan infrastruktur di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Peruntukan itu termasuk bagi jalan raya dan jambatan, pelabuhan dan infrastruktur sungai khususnya di kawasan luar bandar.
“Dalam memacu Sarawak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan inklusif, kerajaan negeri komited untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonominya dengan lebih menekankan pembangunan infrastruktur.
“Antara projek utama yang akan terlibat dengan peruntukan ini ialah Reka Bentuk dan Pembinaan Jalan Lingkaran Dalam, Kuching; Pembinaan Jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim, Sibu; Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan, Sarikei (Fasa 3) dan Penggantian Tujuh Jambatan Sementara di Bawah Fasa 1 kepada Jambatan Kekal.
Menaiktaraf Jalan Oya, Sibu; Kerja-kerja Kecemasan untuk Infrastruktur Awam yang Rosak; Sg. Jambatan Limbang, Sg. Bunut No. 2 dan Jalan Penghubung, Limbang;
“Program Transformasi Jambatan Luar Bandar dan Halaman Kenderaan dan Kemudahan Bersekutu di Pelabuhan Senari,” katanya ketika membentang usul Belanjawan Sarawak 2023 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Selain itu, pembinaan beberapa projek infrastruktur utama yang menelan belanja bilion ringgit sedang dilaksanakan dan dibiayai di bawah inisiatif Pembiayaan Alternatif seperti Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Kedua, Lapangan Terbang Bukit Mambong, dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.
“Dalam mempercepatkan agenda transformasi negeri, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan akan sampai ke setiap pelosok negeri, dengan memanfaatkan potensi ekonomi tempatannya.
“Justeru, tiga agensi pembangunan wilayah baharu telah diwujudkan iaitu Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), selain lima lagi agensi pembangunan wilayah yang telah telah ditubuhkan lebih awal.
“Ini juga selaras dengan pendekatan ‘bottom-up’ kami; memperkasa dan mendesentralisasikan usaha pembangunan di semua wilayah untuk penyelarasan yang lebih baik dan pelaksanaan projek yang lebih berkesan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN