
PETRA JAYA: Beberapa projek pembangunan kritikal di kawasan luar bandar Daro, Matu dan Tanjung Manis masih tertangguh, sekali gus menjejaskan akses penduduk kepada perkhidmatan asas serta usaha meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan.
Kelewatan ini memberi kesan langsung kepada ribuan penduduk, termasuk pelajar, warga emas dan komuniti luar bandar yang bergantung kepada kemudahan tersebut untuk urusan harian serta kesejahteraan mereka.
Safiee Ahmad (GPS-Daro) menegaskan bahawa isu terbengkalai ini memerlukan tindakan segera daripada kerajaan negeri bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas yang selamat, moden dan setara dengan keperluan semasa.
“Beberapa projek kritikal masih tertangguh sehingga menjejaskan ribuan penduduk. Projek terbengkalai ini bukan sahaja menghalang akses kepada perkhidmatan asas, malah menjejaskan pembangunan ekonomi tempatan.
“Jika masalah ini tidak ditangani segera, potensi ekonomi kawasan luar bandar seperti Daro dan Meradong tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini hari ini.
Safiee menekankan potensi besar kawasan Sungai Ilas di Meradong sebagai hab agromakanan moden selepas terbukti mampu mengeluarkan buah-buahan tropika premium untuk pasaran eksport dan domestik.
Beliau berkata pembangunan sistem saliran melalui Projek Pembangunan Infrastruktur Saliran Sungai Ilas/Sebena (Block A3) amat penting untuk meningkatkan produktiviti pertanian tempatan dan menyokong sasaran Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.
“Jika projek Block A3 dapat dilaksanakan segera, kawasan ini berpotensi menjadi hab agro-makanan moden yang akan membuka peluang ekonomi baru kepada penduduk tempatan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan penubuhan Pusat Latihan Pertanian dan Perikanan atau cawangan CENTEX bagi melatih golongan muda dengan kemahiran moden dan menyokong pengembangan industri makanan dan pertanian negeri.
Safiee juga menzahirkan kebimbangan berhubung projek Klinik Pergigian Daro yang terbengkalai meskipun kelulusan NOC pertambahan kos telah diperoleh sejak September 2024.
“Keadaan ini menyebabkan ribuan penduduk bergantung kepada bangunan kabin yang tidak sesuai untuk perkhidmatan pergigian. Kami berharap kontraktor penyelamat dapat dilantik segera supaya projek ini dapat disiapkan tanpa sebarang penangguhan lagi,” katanya.
Isu bekalan elektrik di SPK Kampung Badong turut disentuh, di mana sepuluh rumah masih belum disambungkan walaupun dibina lebih setahun lalu.
Safiee menegaskan bahawa semua isu yang dibangkitkan adalah keperluan mendesak rakyat dan berharap kementerian serta agensi berkaitan memberi perhatian serius agar pembangunan luar bandar terus diperkasa.
Oleh Adele Rissa