
PETRA JAYA: Sarawak telah menerima kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority Singapura bagi projek penyambungan elektrik dasar laut Sarawak–Singapura, sekali gus menandakan langkah penting ke arah pembentukan ASEAN Power Grid dan usaha negeri menjadi pusat tenaga hijau serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa tenaga akan menjadi pemangkin utama transformasi ekonomi negeri, dengan sektor industri dan pengangkutan bakal melalui proses nyahkarbon yang lebih mendalam bagi memenuhi keperluan masa depan.
Sarawak turut menyasarkan untuk menamatkan rutin pembuangan gas suar menjelang 2030, memperluas elektrifikasi operasi serta melaksanakan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) secara besar-besaran di hab perindustrian utama menjelang 2035.
“Kami akan melaksanakan peralihan tenaga ini secara berdisiplin bersama sektor swasta dan institusi antarabangsa supaya setiap projek yang dibangunkan kukuh dari segi kewangan dan benar-benar memberi manfaat sosial kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari, yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, berkata dunia kini memasuki Era Elektrik, di mana kekuatan grid dan teknologi penyimpanan menentukan daya saing sesebuah wilayah, manakala tenaga solar dan kecekapan penggunaan menjadi penentu kemakmuran.
Menurutnya, keputusan Sarawak dalam hala tuju gas, strategi tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pelaburan grid dan solar serta perkembangan dalam industri mikroelektronik merupakan langkah yang disengajakan, bukan kebetulan.
“Langkah-langkah ini adalah tindak balas kepada realiti global. Matlamat kita jelas, iaitu memastikan anak Sarawak hidup dalam sebuah negeri yang makmur, selamat, lestari dan dihormati dunia,” katanya lagi.
Setakat ini, Sarawak telah melepasi sasaran tenaga boleh diperbaharui bagi 2030 dalam campuran penjanaannya, dipacu terutamanya oleh kuasa hidro. Pelepasan karbon grid turut menunjukkan penurunan ketara berbanding sedekad lalu.
Pada 2025, Sarawak Energy Berhad (SEB) menyiapkan beberapa projek transmisi utama, termasuk sambungan Grid Utara ke Lawas dan Sabah, yang bukan sahaja memperkukuh kebolehpercayaan bekalan untuk rakyat, malah membuka laluan kepada eksport tenaga merentas sempadan.
Oleh Adele Rissa