KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pindaan) 2022.
Ia dilulus selepas dibahas oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Christopher Gira (Tamin), Abdul Yakub Arbi (Balingian), Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga), Safiee Ahmad (Daro), Datuk Talib Zulpilip (Jepak) dan Johnichal Rayong Ngipa (Engkelili).
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Ia antara lain bertujuan membolehkan Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) mengawal selia sepenuhnya industri kayu termasuk penubuhan dan operasi kilang papan yang sebelum ini dikawal di bawah Ordinan Hutan 2015 [Cap.71].
RUU itu juga bertujuan untuk menambah peruntukan bagi meningkatkan kuasa penguatkuasaan di bawah Ordinan PUSAKA.
Len Talif pihak PUSAKA akan memperkukuhkan pelaksanaan seperti apa yang termaktub dalam pindaan ini, terutama alam usaha untuk meningkatkan lagi industri hiliran sejajar dengan fungsi PUSAKA sebagai peneraju pembangunan industri perkayuan di Sarawak.
“Pemindahan kuasa dari Pengarah Jabatan Hutan kepada Pengurus Besar PUSAKA adalah sesuatu yang tepat dan ini membolehkan usaha meningkatkan lagi koordinasi dan keberkesanan pembangunan perindustrian perkayuan khususnya industri hiliran.
“Ini kerana kerajaan masa ini menekankan kepada nilai tambah tinggi produk kayu,” katanya
Beliau berkata, PUSAKA memang sudah mempunyai pasukan yang mencukupi dan berpengalaman untuk melaksanakan operasi pengurusan dan penguatkuasaan industri bagi mematuhi pindaan ordinan.
“Kita juga akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam memantapkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan,” katanya.
Selain itu katanya, di bawah klausa 5C (1), Pengurus Besar PUSAKA diberi kuasa mengeluarkan permit sementara untuk memproses barangan kayu untuk kegunaan komuniti tempatan.
Ini kata beliau, akan mempercepatkan pengeluaran permit sementara asalkan ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan pada masa sama, penguatkuasaan akan dapat dipertingkatkan.
Pindaan utama dalam RUU ini ialah pengenalan lesen perindustrian kayu untuk menggantikan keperluan pendaftaran bagi industri perkayuan; pengenalan peruntukan baharu mengenai ‘Permit Sementara Beroperasi’ sebagai langkah sementara untuk memudahkan industri perkayuan sementara menunggu pengeluaran lesen industri perkayuan atau untuk kegunaan domestik.
Selain itu, ia juga untuk pengenalan peruntukan penalti bagi operasi haram kilang kayu dan aktiviti haram lain yang melanggar terma dan syarat Lesen Industri Kayu atau Permit Sementara Beroperasi; pengenalan peruntukan mengenai pembatalan atau penggantungan Lesen Industri Kayu dan peningkatan dan pengukuhan kuasa penguatkuasaan di bawah ordinan.
“ Pada masa ini, PUSAKA mengeluarkan Sijil Pendaftaran menurut Ordinan PUSAKA dan lesen kilang papan melalui pewakilan kuasa oleh Pengarah Hutan di bawah Ordinan Hutan 2015 [Cap.71].
“Pindaan ini akan memadamkan peruntukan yang berkaitan dengan pengeluaran Sijil Pendaftaran dan menggantikannya dengan peruntukan yang memberi kuasa kepada Pengurus Besar PUSAKA untuk mengeluarkan Lesen Industri Kayu atas apa-apa terma dan syarat yang mungkin dikenakan olehnya.
“Lesen Industri Kayu ini akan menjadi satu-satunya lesen yang dikeluarkan oleh PUSAKA untuk aktiviti industri kayu termasuk penubuhan, bangunan dan pengendalian kilang papan. Ini bertujuan untuk menyempadankan dengan jelas peranan, tugas dan tanggungjawab antara PUSAKA, Jabatan Hutan dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sekali gus memperkemas fungsi ketiga-tiga agensi di bawah Kementerian ini.
“Pengeluaran Lesen Industri Kayu akan menjadi mekanisme pengawalseliaan yang lebih holistik untuk mengawal selia industri kayu di Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN