KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mempunyai peruntukan dana yang boleh dipohon iaitu geran sokongan acara dan pesta untuk membantu penganjuran Pesta Layang-Layang Antarabangsa Kabong.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata, geran ini bertujuan untuk membantu penganjur acara dan pesta menjayakan aktiviti atau acara yang berkaitan dengan pelancongan, kesenian dan kebudayaan.
“Malah, agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) boleh membantu dalam mempromosikan acara-acara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Chee Kadir (GPS-Kabong) dalam sesi pertanyaan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Sebastian berkata, kementeriannya telah menyalurkan sejumlah RM10,000 untuk penganjuran acara tersebut.
“Pihak kementerian terus menyokong mana-mana penganjuran acara dan pesta yang dilihat mampu untuk dibangunkan sehingga menjadi acara ikonik bukan sahaja di peringkat tempatan malah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN