
PETRA JAYA: Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun serta pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik telah menyumbang kepada peningkatan ketara jumlah pengundi, khususnya dalam kalangan belia dan pengundi kali pertama di Sarawak.
Kennedy Chukpai Ugon (GPS – Murum), menegaskan bahawa pertambahan bilangan pengundi memerlukan penambahan bilangan wakil rakyat bagi menjamin representasi yang lebih adil dan menyeluruh.
“Dengan pertambahan pengundi, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, adalah penting supaya jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut ditambah bagi memastikan suara rakyat terus diwakili secara saksama,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi mengelak penumpuan pengaruh di kawasan berpenduduk padat, di samping memastikan pengagihan sumber dan perhatian perundangan yang lebih seimbang di seluruh negeri.
“Setiap suara rakyat, tanpa mengira usia mahupun lokasi, wajar diambil kira dalam membentuk masa depan negeri,” tegasnya.
Oleh Shikin Mahmud