
PETRA JAYA: Miro Simuh (GPS – Serembu), menekankan keperluan memperkukuh industri ruminan di Sarawak melalui beberapa langkah strategik, termasuk peningkatan kualiti genetik dan pembiakan domestik secara meluas oleh penternak kecil serta pelabur swasta.
Miro, berkata langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import daging dan meningkatkan tahap sara diri negeri dalam pengeluaran daging tempatan.
“Produktiviti industri ruminan kita masih rendah, dengan tahap sara diri belum mencecah 20 peratus.
“Kita perlu beri perhatian serius kerana keperluan domestik masih bergantung kepada import,” katanya semasa membahaskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, hari ini.
Miro mencadangkan agar peruntukan besar disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkukuh pembangunan industri ruminan, khususnya menerusi pelaksanaan Dasar Ruminan Sarawak oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS).
Katanya, bantuan kewangan dan sokongan kerajaan membolehkan Sarawak mengimport serta membiakkan baka ruminan berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan populasi lembu dan kambing tempatan.
“Dengan bekalan mencukupi, kita boleh menawarkan haiwan korban pada harga lebih kompetitif menjelang Aidiladha,” ujarnya.
Miro turut mencadangkan pembangunan industri makanan ternakan tempatan diperkasa dengan insentif khas kepada pelabur, memandangkan ia merupakan komponen penting dalam rantaian penternakan.
“Jika kita mempunyai kilang makanan ternakan sendiri, pertumbuhan industri ruminan akan lebih menyeluruh dan mapan,” katanya.
Miro juga menggesa lebih banyak program latihan teknikal, pemindahan teknologi dan kursus pengurusan ladang dilaksanakan oleh DVSS untuk melahirkan penternak berpengetahuan tinggi.
“Saya yakin dengan perancangan rapi dan sokongan menyeluruh, industri ruminan Sarawak mampu mencapai tahap sara diri sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh terdekat,” tambahnya.
Oleh Amanda L.