PETRA JAYA: Peratusan kanak-kanak Tahun 1 yang pernah mengikuti pendidikan tadika di Sarawak terus mencatat peningkatan dengan 98.81 peratus pada 2024 berbanding 98.71 peratus pada 2023.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses penuh kepada pendidikan awal kanak-kanak menjelang 2030.
Katanya, sehingga 31 Oktober 2024, terdapat 2,718 tadika dan 242 taska berdaftar di seluruh Sarawak, yang menyediakan pendidikan kepada 73,302 kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.
“Kementerian terus berusaha memastikan pendidikan awal kanak-kanak mencapai 100 peratus akses menjelang 2030. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memperkukuh asas pembangunan modal insan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut Fatimah, pembentukan sahsiah turut diberi penekanan melalui pelbagai aktiviti di bawah penyedia pendidikan awal negeri, SeDidik.
Antaranya termasuk pendedahan kepada kemahiran kepimpinan dan amalan menabung yang melibatkan 76 peratus kanak-kanak tadika berumur empat hingga enam tahun.
“Sehingga kini, 100 peratus pusat tadika SeDidik telah melaksanakan program menabung dengan jumlah simpanan keseluruhan mencecah RM437,591,” ujarnya.
Selain itu, kerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak dan Singapore National Library Board (NLB) dalam aktiviti penulisan turut memperkasakan kemahiran motor halus, kreativiti, dan kecekapan sosial-emosi kanak-kanak.
Fatimah berkata, seramai 786 kanak-kanak enam tahun telah terlibat dalam inisiatif ini, dengan 84 peratus daripadanya berjaya menghasilkan buku cerita sendiri.
Dalam usaha memastikan kesaksamaan pendidikan, Fatimah berkata, sebanyak 836 kanak-kanak prasekolah berkeperluan khas telah menghadiri kelas inklusif bersama rakan sebaya tanpa keperluan khas pada tahun ini.
“SeDidik mencatat peratusan penyertaan tertinggi sebanyak 8.91 peratus, diikuti KEMAS (1.74 peratus), tadika swasta (0.47 peratus), dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (0.33 peratus),” katanya.
Beliau menambah, pendekatan inklusif ini membantu kanak-kanak memahami konsep empati, perpaduan, dan kerjasama sejak usia muda, yang menjadi asas penting dalam pembentukan masyarakat harmoni pada masa depan.
“Kerajaan akan terus berusaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak sebagai teras pembangunan negeri Sarawak,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat